Wednesday, December 7, 2011

Baris kata untuk Muhammad


Sudah setahun lebih.Pelbagai peristiwa dunia berlaku dan berlalu,namun duniaku tetap masih kecil sahaja,sekadar bersederhana cuma,berlegar-legar antara dosa dan pahala barangkali.

Sengaja aku tidak mahu mencoretkan apa-apa pada tanggal hari jadinya yang pertama, untuk dia tahu bahawa-kasihku kepadanya tidak mengenal erti masa.

Untuk aku,lahirnya setahun yang lepas penuh bermakna, umpama ruang hatiku ini penuh sehingga tumpah dengan cinta dan impi harapan.Hampir sahaja aku mempercayai rezekiku yang berlabuh semua untuknya-aku hanya menumpang teduh.Seperti mahu juga aku kutip semua butir-butir perkataan baik yang hadir di dunia ini dan aku coretkan segala yang baik dan elok untuknya.

Aku memanggilnya dengan Muhammad, terkadang dengan Fatih,acapkali dengan Ahmad.Dan apabila dia membalas panggilan aku dengan pandangan matanya,hatiku mekar.Bagaimanakah aku ingin gambarkan syurga dunia ini dengan hanya baris-baris kata?

No comments: