Wednesday, February 23, 2011

Puisi Malam Untuk Isteri

Pandanganmu memeluk hatiku,
Ketawamu memadam kesunyianku.
Sebelum hilang ditelan pekat malam,
Pergi ditiup angin panas,
Bukan cemburu kita,
Cuma sebentar,
Buat mengulit mimpi-mimpi indah,
Nan diselami doa kita.
Pejamkan mata,
Aku sini..

Di mana hendak aku lemparkan pandangan ini,
Di dalam mimpi,
Semua ada kamu.

Tunggu..
Jangan buka mata,
Sebelumku cari semua manik kegembiraan,
Yang bertebaran dihamparan harapan,
Untukku untai jadi rantaimu,
Esok hari...

Kerna...
Hatiku penuh ada kamu...


23 Februari 2011 (cuaca panas) 

Sunday, February 20, 2011

Di Bawah Kipas Baru,Di depan TV Lama,Aku Mengantuk

Agak lama aku tidak menonton Berita TV3 secara fokus, selalunya hanya layang-layang pandang sambil aku berbual-bual dengan isteri.Oleh kerana isteri berkhidmat kepada masyarakat hari ini, dan aku on TV3 untuk Buliten 1.30pm, aku ketawa besar bila YAB PM Malaysia mengistilahkan PKR,"parti keluar beramai-ramai", ada betul ada tidaknya.Aku kira serangan kepada pembangkang ini dilakukan setiap hari di media-media dibawah kawalan Kerajaan BN.

Sistem politik Malaysia aku rasa sudah gila,ia bertambah gila (atau setidak-tidak pun penyakit gila itu maintain) sejak 53 tahun dahulu.Sistem politik malaysia meletakkan parti-parti sebagai penentu masa depan Malaysia. Aku sebagai rakyat mengundi supaya wakil-wakil rakyat dapat membentuk suatu kumpulan-kumpulan pembangkang dan juga kerajaan yang bertidak sebagai penggubal undang-undang dan juga check-balance supaya urus tadbir negara dilakukan secara bertanggungjawap.Untuk membangunkan negara bukanlah hanya tanggungjawap kerajaan secara absolute tetapi ia adalah tanggungjawap rakyat secara umum.

Aku jadi jengkel dengan gaya-gaya politik murahan sebegini.Jika pun PKR itu adalah parti haprak,tidak semestinya YAB PM itu seorang yang betul.You cannot make it right beb,only if you can prove others wrong.

 
Aku bukanlah peminat parti PKR, tetapi sudah tentu aku tidak pernah menyukai BN.

Friday, February 18, 2011

Untuk Ibuku

Sewaktu aku masih anak kecil dahulu yang selalu berlari dari lorong ke lorong bermain dengan kawan-kawan kecilku, berteduh di bawah pokok pisang dan juga di bawah pohon rambutan kerana hari hujan. Aku sering memandang ke langit apabila hujan dan aku akan mengomel kepada kawan-kawan kecilku. Langit seringkali menangis setiap kali kita membuat nakal. Sanggah kawan-kawan kecilku, bukan..langit bukan menangis tetapi langit sedang berpeluh kerana langit sering mengikut kita berlari-lari mengejar mimpi Tidak, balas yang lain, langit menurunkan air supaya kita dapat membersihkan kita daki peluh dan letih bermain.

Dan setelah aku tau apa itu abc, dan ibu bercerita tentang tuhan. Baru aku mengerti hujan itu tanda kasih tuhan kepada manusia.

Kata ibu langit bukan menangis, tetapi manusia yang akan menangis. Aku bertanya,mengapa abah mati adik menangis.

Adik, manusia akan menangis dan gembira untuk manusia yang dia sayangi.

Kini, aku seringkali menangis untuk manusia yang aku sayangi kerana aku gagal untuk memberi apa yang dia idam-idamkan di dalam hidup sementara ini, tetapi dia masih bersabar dengan aku. Hanya bicara manisku sahaja yang menjadi penawar hatinya.

Tuhan, jadikanlah aku langit untuknya...
Jadikanlah aku mentari untuknya...
Supaya aku dapat mengukir pelangi petang untuknya...
Setelah paginya telah dihiasi dengan petir payah kehidupan...
semuanya akan ku beri kepadanya...
Harap sebelum malam menjelma

Tuesday, February 15, 2011

Kisah Resit-Resit Itu

Hari ini Maulid Nabi,makanya sebahagian orang akan berarak,tentu meriah,aku hanya menikmatinya di kaca TV. Tentu seronok tokey-tokey baju melayu mendapat tempahan baju melayu,aku fikir.Aku dan isteri tidak kemana-mana,hanya duduk-duduk,sembang-sembang,tidak tahu aktiviti ini mendapat pahala atau tidak,untuk yang ke diskusi ilmiah sempena memperingati Nabi saw tentu pahala sebagai ganjarannya.Isteri sepatutnya ke Alor Setar untuk menghadiri kursus Tarbiyatul Aulad( parenting skill dalam bahasa Inggerisnya), aku pula akan menghabiskan kerja-kerja rumahtangga yang tertangguh seperti membersihkan rumah dan isinya serta membaiki lampu dan kipas yang rosak.Oleh kerana kami berdua tidak sehat,maka kami hanya duduk-duduk di rumah.Sudah tentu aku lebih suka isteri berada dibulatan usrah atau di seminar-seminar kerna aku lihat itulah sumber kekuatannya :).

Sedang duduk-duduk, aku membelik-belik segala resit yang bersepah,ada yang diletakkan di atas almari dipinggir TV,ada di atas meja, ada di atas rak.Aku cuba kemaskan dan cuba kepilkan di tempat sepatutnya, resit pembayaran kereta,resit buku-buku yang dibeli dan sebagainya.Apabila dikumpul,dikepil,diketip aku baru perasan yang resit pembayaran kereta telah hilang beberapa bulan.Aduh..apa lagi bebelan ini aku terus dilampiaskan kepada isteriku namun aku sedar semuanya salah aku sendiri,cuma tiada siapa-siapa di situ melainkan dia sahaja, tak akan aku nak membebel dengan Jerry( monyet mainan anak aku) atau mustahil aku mahu membebel di Facebook nanti dibilang mengada-ada sahaja.Mujur telinga isteri sekarang agak tebal,maka dibuat dono sahaja,namun ada ketika dia membalas dengan kata-kata yang membuatkan hati bingkas tenang.

Ya,kerap kali aku meletakkan resit-resit yang penting merata-rata, di mana tempat pinggulku berlabuh setelah balik kerja,disitulah tempat aku menebarkan resit-resit itu.

Dahiku berkerut memikirkan akukah yang bersalah?Dan bagaimanakan aku ingin menjadi seorang yang berdisplin setiap kali aku pulang dari pejabat,aku akan belek satu persatu resit di poket dan di dompet lalu aku saringkan dan kepil atau kepitkan mengikut jenis-jenis resit itu( aku tidak dapat bayangkan betapa aktiviti ini dijalankan seperti semuanya seolah-olah berjalan lancar dalam gerakan "slow motion"), namun natijahnya tidak begitu,pulang dari pejabat dengan badan dan minda yang penat amat sulit untuk aku displinkan diri.Adakah aku PEMALAS!!!Tentu tidak!!(sedikit mungkin,hehe)

Iya,kita kerap menjustifikasikan sesuatu perbuatan itu tanpa melihat kepada disebalik sesuatu yang membuatkan ia berperilaku begitu.Perilaku akhir hanyalah tips of iceberg.Namun disebaliknya,di dasar Iceberg itulah tersembunyi faktor-faktor pencetus.Sudah tentu akibat keletihan badan dan minda aku sukar untuk mendisplinkan diriku untuk melakukan kerja-kerja sebegitu,itu bukanlah suatu pilihan yang bijak untuk aku ubah.Jika aku tidak dapat mengubah sesuatu yang aku tidak dapat kawal,maka satu pilihan( sudah tentu ada pilihan yang lain lagi) adalah dengan memudahkan proses itu.Makanya aku perlu memudahcarakan proses mencari fail-fail yang berkenaan,mengepil dan mengetip resit-resit mengikut jenisnya dan meletakkannya kembali fail-fail tersebut ke tempat asalnya.Jadi sebagai penyelesaianya,aku meletakkan suatu bekas di tempat yang senang dicapai dan senang dilihat.Cukup 3 bulan atau 6 bulan sekali aku akan kepil dan kepitkan resit-resit itu mengikut fail yang sepatutnya.

Sekian...kisah resit-resit itu.

Tuesday, February 8, 2011

Kipas Rumah Aku Rosak

Kipas rumah aku rosak.Tajuknya ringkas tapi panasnya sampai ke otak.Sebenarnya kipas ini telah berbunyi-bunyi semenjak aku menduduki rumah ini.Kalau zaman dahulu sudah tentu dianggap rumah ini berpenunggu.Tentu bomah masa itu kaya dan kenyang dengan ayam dan telur ayam kampung jika ditakdirkan waktu itu kipas elektrik telah wujud.
Tapi untuk aku bunyinya mengiringi tidur aku di ruang tamu.Untuk siapa bertandang ke rumah aku kerap mengingatkan supaya jangan risau kipas ini tak akan jatuh,hanya bunyinya sahaja yang nyaring,namun kadang-kala agak merdu mengikut level kelajuan yang diinginkan, jika mahu irama yang sedap mungkin boleh sahaja putarkan level kelajuannya mengikut irama yang dikehendaki bertukar ganti ala pemuzik turn table.

Kini irama itu telah pergi,pergi membawa sekali kedinginannya,yang ditinggalkan hanya bahang kepanasan.Perginya sekelip mata,tidak-tidak pun tinggalkanlah kesan inersia buat seketika,sejuk juga hati ini.

Tapi tak mengapa,mungkin boleh dibuat sauna untuk seketika pujuk hati (malam tadi aku menonton No Ordinary Family dengan berpeluh lenjan,tentu tak payah jogging untuk sebulan ni,aku seperti melihat hati isteriku berkata-kata dalam tidurnya).Yang penting aku tak pernah sesekali akan merindui irama itu.

Tuhan, ingatkan aku untuk membeli kipas meja sehingga kipas itu dibaiki nanti.

Friday, February 4, 2011

Aku,William dan Cameroon Highland

Aku menggosok-gosok badan apabila disapa angin dingin.Sesekali aku memeluk Muhammad yang berada di dada sambil membetulkan kedudukan kepalanya yang tertidur lena di bahuku.Ibunya pula sebuk merakamkan seberapa banyak gambar ala photographer professional masa kini menggunakan kamera digital yang aku ragui hasilnya nanti.Matahari sangat cemerlang di Cameroon Highland,namun panasnya hanya suam-suam kuku dan hanya bermain-main di lapisan epidermis.Aku mendongak, aku tak tahu nama saintifik kumpulan-kumpulan awan di birai langit,namun ia seperti kepulan-kepulan gula kapas.Tentu sahaja puji dan puja hanya selayaknya untuk-Nya atas anugerah alam ini.

Cameroon Highland yang terletak di satu daerah di barat daya Pahang yang mempunyai ketinggian sehingga 1830 dari paras laut dan mempunyai suhu serendah 18 C yang aku sangat ragui faktanya kini kerana terlampau banyak kobis dan bayam yang ditanam di sini,Aku meyakini Cameroon Highland bukanlah kali pertama dijumpai oleh pegawai Inggeris William Cameroon seorang juruukur Inggeris,namun oleh kerana beliau keturunan Inggeris,maka nama Cameroon Highland diambil sempena nama beliau.

Terdapat pelbagai hotel sederhana di sini dan tarikkan utamanya adalah pelbagai pertanian yang sesuai untuk iklim sederhana seperti strawberi dan sayur-sayuran.Namun yang menyedihkan banyak bukit yang ditarah untuk tujuan pertanian dan ini mungkin sedikit sebanyak menyebabkan iklimnya tidak sesejuk dahulu. Kepada YB Devamamy S. Krishnasamy diharapkan dapat melihat isu ini dengan serius lagi meski ini bukanlah tugas utama YB-YB,YB-YB kan muti-tasking.

Wednesday, February 2, 2011

Hati-Hati di Jalan Raya

Di tengah kesesakan lampu isyarat yang terpacak sana sini dan bertukar kaler dengan sangat pantas.Aku memandang wajah isteri aku. Dia membalas pandangan itu dengan senyuman. Di syurgakah aku ini, Tanya hatiku.Namun tiba aku dikejutkan dengan sebuah kereta yang badannya agak berkurap memotong kereta aku dicelah-celah kesesakan itu.Bernasib baik tidak bergeser dengan badan keretaku, tentu kurapnya itu berjangkit. Aku mengomel panjang.

Aku katakan kepada isteri dijalan raya ini kita dengan mudah untuk melihat siapa manusia yang berjaya atau yang gagal. “Bagaimana?” Tanya isteriku.Cuba bayangkan ,orang yang membawa kereta dengan sangat laju tidak kena pada tempatnya ini berfikir bahawa dengan memandu laju,dia mungkin sempat sampai ke tempat tujuan itu dengan cepat kononnya masa itu emas, namun dia terlupa bahawa jika pemanduannya itu cepat untuk 1 jam, bagaimana baki 23 jam selebihnya itu pula. Dia fikir satu jam dijalan raya itu penting, tetapi tidak memikirkan kemana perginya masa 23jam yang lain itu pergi.Orang jenis ini sebenarnya tidak pernah memikirkan tentang masa, apa yang ada hanya sifat gelojoh.Sudah tentu akhirnya mereka ini golongan yang gagal dalam hidup.”Bagaimana abang tahu?”soal isteriku dengan matanya yang berkelip-kelip.Mungkin fikirnya aku ada jawapan untuk semua permasalahan dunia. Lihat sahaja dengan kenderaan yang dipakai.Aku menyapu kesimpulan.


Selamat Tahun Baru Cina,di dalam kesebukan pulang ke kampong berhati-hati dengan kereta yang berkurap dan lori yang berhantu.