Wednesday, February 6, 2013

Feudalism,Minda dan Nafsu

Pesanan kepada minda.
Pesanan ini supaya kau jaga-jaga dengan satu jenis penyakit, Feudalism. Feudalism hanya wujud di dalam diri manusia yang tidak mampu mencari kebenaran dengan fikirannya.Maka kaum feudal memanipulasi kebenaran ini dengan menyatakan bahawa kebenaran adalah apa yang mereka nyatakan.Namun kaum yang lemah ini tidak bodoh, lemah berfikir tidak bermakna bodoh. Kebenaran tanpa harta dan duit umpama ada minyak tetapi tidak royalti. Mereka sukar tunduk.Jadi kaum Feudal menaburkan harta dan duit.Nah….Kebenaran didatangkan bersama duit.Jadilah pengikut setia kami.Jadi Kaum yang lemah itu sentiasa bergantung.Mereka tidak punyai upaya berfikir dan miskin.Akan bergantunglah mereka sampai bila-bila...

Pesan kepada nafsu.
Pesanan ini supaya kau jaga-jaga dengan satu jenis penyakit, Feudalism. Feudalism hanya wujud di dalam diri manusia yang tidak mampu mencari duit dengan fikiran dan usahanya. Maka kaum feudal memanipulasi duit dan harta ini dengan menyatakan bahawa duit dan harta adalah apa yang mereka boleh berikan.Namun kaum yang miskin ini tidak bodoh, miskin tidak bermakna lemah berfikir.Duit tanpa kebenaran samalah seperti rakyat tanpa kad pengenalan.Mereka sukar tunduk.Kaum Feudal membolot semua harta-harta kerajaan,tender-tender kerajaan atas dasar penswastaan, kroni bertambah kaya, negara megah maju.Inilah kebenaran, maju itu tanda kebenaran.Jika tidak,takkanlah Dr. M itu dipercayai jika tidak dia membawa kemajuan dan kemodenan.Nah...kami berikan kamu duit dan harta(yang diperoleh dari kroni).Jadilah pengikut setia kami. Jadi kaum yang miskin itu sentiasa bergantung.Keupayaan berfikir mereka makin lama makin mengurang.Dan bergantunglah mereka sampai bila-bila...

Tuesday, October 23, 2012

Bunga Cinta Hatiku(Rindu)

Dalam keheningan senja,
Yang kuningnya menyimbahi muka,
Aku duduk kesorangan,
Mengarang kata,
Menyulam makna,
Melepaskan rasa,
Benarkah tiada baris dapat ku coretkan,
Segala akal dan rindu?



Dan
Malam pun menjemput malu,
Namun seri purnama tanpa senyummu,
Sinar kejora tanpa kerdip matamu,
Nyanyian alam tanpa suaramu,
Gelap,sunyi dan sepi,
Dan sepi itu adalah hatiku,



Dan
Mimpi pun mula berlayar,
Terus berlayar,
Melabuhkan kasih di taman indah,
Keindahannya kerana bunga,

Dan
Bunganya adalah hatimu

Dan
Dalam hatimu ada cintamu

Dan
Dalam cintamu ada hatiku

Wednesday, October 17, 2012

Pagar Ruyong

Jika aku boleh berjanji,
Janji aku pulang ke akar,
Yang telah dirampas oleh masa,
Dan lemas di dalam sengketa dunia,
Mahu menoleh tersangatlah jauh,
Berlari deras ke depan takut jatuh tersingkuh.

Tidak boleh menyusur ke tanah,
Menikmati keindahan bunga,
sebelum 13 purnama,
Amanah dan janji harus dituruti
Sumpah puti dan pantang keturunan,
Cerita titi meniti,
Raja Alam,Raja Adat,Raja Ibadat

Lautan sebarang bak dunia lain,
Garis sempadan dijaga harimau,
Jadi duduk kaku membatu,
Tak buat apa,
Bisik-bisik sesama sendiri.

Lalu aku teringat pesan orang lama,
Jangan tegap bertindih biar jatuh merempuh,
Aku genggam azam,pegang panji,
Kan ku sambar sayap garuda,
Jika tidak ku berlayar berlabuh di Teluk Bayur
Untuk temu cerita di sana..

Monday, July 30, 2012

Roti Nan Bermasalah

Usai sahaja solat tarawih 8 rakaat 2 orang sahabat lama yang berlainan usia lepak-lepak di warung mamak.3 rakaat witir yang selebihnya hendak dibuat di awal pagi sebagai tambahan solat malam alasan mereka.

Wajah warung mamak ini tidak ubah wajah salah satu warung di Kerala,sangat harmoni dengan alam sifatnya, tikus-tikus sekali sekala berjaya melintasi kaki-kaki kerusi dan meja makan.Sambil tangan Cikgu Pali mencicah roti ke kuah dal,Cikgu Pali tanpa sebab berpesan kepada Meon hati-hati kalau nak makan roti tanpa telur,takut nanti takut dekat bini. Meon hampir terpancut keluar kembali roti tanpa telur itu dari bibirnya.Tak boleh jadi Cikgu Pali ni.Main perli-perli(mana dia tahu aku takut bini?),sudahlah dia cikgu BM kalau hendak perli pun gunalah bahasa melayu yang tinggi tanda adat melayu,keris sahaja panjang,sungutnya di dalam hati.Cikgu pun hati-hati kalau nak pilih capati,sambil menunjukkan banner warung itu;gambar seorang wanita separuh abad bermain badminton,bererobik dan berjogging dan ada perkataan JANJI AKU MANIS(dengan huruf besar) dihujung jari telunjuk wanita itu.Cikgu Pali terkebil-kebil cuba mencari hubungkait antara capati,janji,wanita dan banner warung itu,setahunya pemilik warung itu lelaki jantan tulen yang kacak berbibirkan kemerah-merahan.

Cikgu Pali masih tidak puas hati.Engkau jangan tak tau,cikgu lagi suka roti tampal-tampal.Roti ni akan ditampal di mana-mana lokasi strategik(seperti LRT,tiang-tiang elektrik,lori-lori membawa bekalan air) menunjukkan betapa eloknya roti ini.Eloklah tu cikgu,lepas tu cikgu makan pula Roti Mubarak(sengaja disalah eja “murtabak”,roti untuk orang-orang yang pencen dan kaya tetapi masih ada hati cuba merebut jawatan Presiden Penjaja-Penjaja Roti semenanjung.Cikgu Pali menghempas roti ke kuah dal lalu disuap ke mulut(ada bunyi side effect ala filem Rajinikanth hero pujaan asia)sambil melontarkan bilah-bilah perkataan yang tajam.Engkau tu pula jangan suka sangat dengan roti prata nan berproton,harga dahlah mahal,mutu kesedapan tiada.Lepas tu komplain kalau jual murah nanti bangkrap.Senang sangat kena tipu.Namun perdebatan mereka terhenti...

Sayup-sayup dari tempat mereka kedengaran pelanggan yang duduk di tepi longkang yang airnya semakin mencengkam keras mengorder roti.Pelanggan itu memesan Roti Nan Bermasalah,pekerja warung itu menggaru-garu kerak kepala sambil bertanya lanjut.Pelanggan itu membalas malas ringkas dia mahukan semua roti-roti yang ada diuli dan dibakar bersama.Pekerja itu pun berlalu pergi ke tempat penguli dan pembakaran roti sambil menggeleng-geleng kepala.1Masalah...1Masalah sungutnya.Kawan penggulinya hanya menunggu dan memerhatikan sambil menjentik lebihan tahi hidung di jari telunjuk.

Dari jauh ada susuk yang tersenyum melebar melihatkan ramai orang makan roti-roti yang dihidangkan.Sambil mengusap-ngusap kepala yang separa botak.Lalu memandang kepada isterinya yang dan bertanya “ayang nak shopping apa lagi esok hari?”

Friday, July 27, 2012

Kisah Anak Kecil,Datuknya dan Bekas Arang


Kisah ini disampaikan kepada aku sewaktu aku menginjak ke usia belasan tahun.

Begini kisahnya.Di sebuah kampung di pinggir sebuah gunung hidup seorang anak kecil bersama datuknya.Hidup mereka dikelilingi hutan dan batu-batu gunung,pondok mereka berhampiran anak sungai yang mengalir dingin.Kulit datuknya agak kehitaman,tapak kakinya pula agak keras dan menggerutu,kasar kedua belah tapak tangan menunjukkan betapa usia datuknya dihabiskan untuk berbakti pada bumi buat menjamah sesuap rezeki.Rezeki sentiasa,yang tinggal hanya kita perlu mencarinya. Begitulah yang selalu dibisikkan oleh datuknya kepada anak kecil tersebut.

Setiap hari lewat petang,sebelum malam menjemput datang,datuknya akan menghabiskan sisa-sisa cahaya yang ada untuk membaca Al-Quran.Setiap hari tanpa ada mungkir.Kerana apabila malam menjemput,mereka hanya bertemankan dengan cahaya bulan.Kayu dan arang bakar yang ada hanya untuk dibuat jualan,fakir tetapi rezeki itu ada pesan datuknya lagi.

Suatu malam sesudah mengalas perut sebelum menunggu mentari muncul,anak kecil tersebut datang perlahan-lahan ke tempat beradu datuknya.Dan dengan perlahan melabuhkan kepalanya ke bahu datuknya. Dengan lemah lembut datuknya menyusap-ngusap kasih rambut cucunya.Tangan comel anak kecil yang berusia 7 tahun itu bermain-main dengan tangan kasar datuknya.Dia meminta izin untuk bertanyakan sesuatu dan mengharapkan pertanyaannya itu tidak menyakiti hati datuknya.Usianya setahun jagung tetapi sangat memahami dan menghormati.Datuknya dengan muka yang redup mengangguk perlahan sambil tersenyum.

“Tok,mengapa saya lihat Tok membaca Al-Quran setiap hari sedangkan kita tidak memahaminya”,soalannya ringkas sambil terus bermain-main dengan tangan datuknya.Datuknya tidak menjawap dan hanya menghadiahkan sebuah kucupan di dahi.”Esok datuk bagi jawapannya,tidurlah sekarang”, begitulah datuknya,kurang bercakap tetapi murah dengan senyuman dan kasih.Bercakap hanya perlu.Malam itu mata anak kecil itu tidak boleh berlabuh dengan rapat,masih mengagak-ngagak jawapan yang akan diberikan esok hari.

Pagi itu,mentari masih menyorok-nyorok malu di celahan gunung,anak kecil itu dan datuknya duduk-duduk di bongkah batu di tepi anak sungai sambil menghirup udara pagi.Datuknya memberikannya bekas mengangkat arang dan sisa kayu api dan mengarahkan cucunya mengisi air di bekas itu untuk dipenuhkan tempayan di sudut pondak mereka.Dengan syarat sehari hanya sekali angkut.Anak kecil itu pun melangkah malas menuju ke sungai, cubaan kali pertama gagal kerana bekas itu bocor tanpa disedarinya.Anak kecil itu berdiam diri tidak mahu bertanya.

Untuk hari kedua,anak kecil itu melangkah malas ke sungai untuk mengisi air lagi,dengan berlari separuh tenaga  anak kecil itu cuba mencapai tempayan di sudut pondok, tetapi masih gagal lagi.Masuk hari kesepuluh,anak kecil itu tidak mahu cuba lagi.Lalu datuknya bertanya dengan lembut mengapa.”Tok,setiap hari saya cuba membawa air dari anak sungai ke tempayan dan setiap kali itu jugalah tidak berjaya” omel anak kecil itu sambil jari telunjuknya menunjuk-nunjuk ke arah setiap lubang-lubang kecil di dasar bekas itu.Bibirnya diketapkan,mungkin tanda merajuk atau boleh jadi tanda putus asa.

Datuknya tersenyum dan mengungkapkan baris-baris ayat yang tidak pernah akan anak kecil itu lupakan.

Bekas yang hitam ini umpama hati kita,sangat hitam lantas kita tidak pernah akan perasan akan masalah dengan diri kita.Dengan bekas yang hitam ini kita cuba penuhi tempayan dengan air dari anak sungai,namun tidak berjaya kerana rupanya ada lobang-lobang kecil di sana-sini yang kita tidak pernah ambil tahu barangkali akan kewujudannya.Setiap kali kita lakukan dan setiap kali itu kita gagal.Namun kita tidak pernah perasan bahawa warna hitam arang disetiap pelosok bekas itu telah dibawa pergi sedikit demi sedikit oleh air setiap hari. Lantas akhirnya kita nampak lobang-lobang kecil di sana sini,lalu kita perbaiki dan tampalkan ia.Akhirnya tempayan itu pun akan penuh.

Begitulah hati kita, sangat hitam dan hanya akan menjadi putih dengan hanya kita tempuhi dengan jalan kebaikan,dan salah satunya dengan membaca Al-Quran.Kita baca dan baca tanpa henti,lalu ia menjadi putih.Kita akan lihat kebocoran di setiap sudut hati kita.Lalu kita perbaikinya dengan isi amal Al-Quran sehingga menjadi teguh hati kita.Dan setiap kali kita tinggalkan tugas penyucian dan pengamalan itu setiap kali itu juga hati kita menjadi hitam sedikit demi sedikit.

Setiap kali aku malas membaca Al-Quran, aku akan cuba mengingati kembali kisah ini.

Monday, July 23, 2012

Kelahiran ahli baru dan Harapan

Pagi ini aku diberikan kad ucapan selamat untuk kelahiran orang baru pertama kali bagi sepasang pasangan yang juga kawan aku.Aku menulis ucapan dengan agak panjang.Meski akan diomel oleh kawan aku(dan dia telah buktikan atau itu memang sifatnya??).Ini ayatnya....

May seeds turn into wheat,
May wheat turn into bread,
May bread turn into lovely breakfast...

May your baby turn into brave men,
May your brave men turn into lovely person...
Just like your both.....

Lahirnya cahaya mata di dalam keluarga secara langsung melahirkan sebuah harapan yang baru.Sebagai ibu bapa kita sering ingin anak kita melakukan,melalui,mendapat dan menjadi insan yang terbaik malah lebih baik dari kita.Boleh jadi keinginan kita itu kita salurkan dalam bentuk gesaan dan paksaan,nasihat dan galakkan,denda dan penghargaan dan sebagainya.Boleh jadi keinginan kita itu menjadi beban yang berpanjangan kepada anak-anak.Tapi yang pasti semuanya adalah untuk membentuk mereka menjadi insan yang  terbaik(atau menjadi insan seperti yg kita harapkan dan gambarkan).Namun satu nasihat yang aku tidak akan pernah lupa dan selalu aku syarahkan pada isteri aku.

Begini,kita mungkin menitipkan beribu-ribu kata nasihat untuk mereka,dan mungkin kita pernah menghadiahkan dan mendenda mereka beratus-ratus kali untuk setiap satu kejayaan dan kesilapan mereka.Setiap kali itu boleh jadi mereka lupa atau ingat(atau dendam).Tetapi mereka tidak pernah akan lupa apa yang kita lakukan dan tunjukkan kepada mereka.Lalu mereka akan contohi.Tingkah laku mereka adalah cerminan kita.

Sunday, July 22, 2012

Oh Bahasa Melayuku

GAPENA bersuara kembali,soal bahasa ini tenggelam timbul sifatnya,suam-suam kuku darjah kepanasannya di media massa.

Di satu hari pada musim panas yang lalu aku berada di tengah perut sebuah bas menuju ke Kota Venice,Itali.Aku tidak pasti apa yang menariknya di Venice; aku suka biarkan persoalan itu terbit dan bermain-main begitu.Jika aku keseorangan berjalan-jalan aku selalunya tidak ambil kisah tentang apa bakal tempat menarik untuk aku lawati,peta juga tidak di tangan( Jika dengan isteri aku,sudah tentu dia akan membuat rujukan dan kajian yang terperinci tentang tempat menarik yang harus dilawati).Untuk aku,aku lebih senang membiarkan kaki melangkah ,mata melirik ke papan-papan tanda dan "brochure" sambil mulut sesekali ringan bertanya orang di situ tentang tempat yang menarik yang aku harus jelajahi.Dalam pada itu sudah pasti banyak kali tersesat.Hanya sesekali sahaja aku membuat rujukan dan kajian ringkas itu pun hanya untuk tujuan tertentu.
Di sebelah aku duduk seorang lelaki Itali kelahiran Argetina.Oleh kerana lelaki tersebut duduk disebelah tingkap maka dia dengan lembut mempelawa aku untuk bertukar tempat dengannya apabila melihat aku terkinja-kinja cuba menangkap gambar permandangan di luar.Aku menerima dan melahirkan penghargaan tentang kemurahatian lelaki Itali tersebut.Di celahan dua telapak tangan lelaki Itali tersebut terselit buku yang mata aku pernah lawati isinya.Kebetulan penulis buku tersebut antara penulis kegemaran aku dan lelaki Itali itu,kami lanjutkan dengan bertukar-tukar pandangan tentang penulis dan buku-bukunya yang lain.Buku itu berbahasa Latin dan aku tanpa ditanya mengatakan bahawa aku membaca buku penulis tersebut di dalam bahasa Inggeris.Sambil telapak tangan lelaki Itali itu menggosok-gosok pipi bekas cukuran jambang dia bertanya adakah negara aku bahasa rasminya Bahasa Inggeris.Aku menjawap pantas bahasa melayu (bahasa melayu?apabila aku rujuk ia hampir sama dengan bahasa indonesia baru dia mengerti), tetapi aku tanpa ada noktah menyambung kembali jawapan bahawa di pejabat,aku bertutur di dalam bahasa Inggeris dan begitu juga di semua pejabat-pejabat yang ada di Malaysia(hampir)."Strange", dia membalas sambil meneka bahawa negara Malaysia pernah dijajah. Aku tanpa bertapi-tapi mengangguk lantas dia menunjukkan tanda paham dengan beberapa anggukan.Iya,pernah dijajah....
Aku memalingkan kepalaku kembali ke sisi cermin tingkap bas,dan aku lontarkan pandangan jauh ke pergunungan Alps.Ada tompok-tompok sisa salji bertenggek di puncak gunung walaupun telah dijarah oleh kepanasan mentari di musim panas. Bahasa Melayu walaupun telah dijarah,masih adakah sisa-sisa tinggal dan untuk kita bangkit?Lantas pikiranku meneriak.Oh Bahasa Melayuku!!

p/s:Argentina,Brazil,Venezuela dan lain-lain semuanya pernah dijajah dan hampir kesemuanya bertutur di dalam bahasa Latin dan memilihnya sebagai bahasa rasmi negara.