Monday, March 28, 2011

Wanita Hebat di Kedai Buku itu

Ada satu kedai buku yang aku selalu kunjungi, jika aku perlu fotokopi sesuatu juga aku akan singgah di kedai buku ini, sambil menunggu-nunggu fotokopi siap,aku bersiar-siar mengelilingi raknya. Kedainya di pinggir pekan,agak terceruk ditambahkan pula ada sebatang pohon yang sangat besar di depan kedainya, membuatkan suasananya suram namun sangat redup.Kedai ini mengambil 2 lot bahagian daripada deretan blok itu dan disambungkan keduanya.Aku memang peminat buku,namun untuk menghadamnya tiada upaya diri,ia samalah seperti penonton tegar Jalan-Jalan Cari Makan di TV3,mungkin ada antara penontonnya tidak mampu langsung untuk menjamah makanan yang dipertontonkan.Sedap di mata namun tidak sampai ke lidah.Berada di kedai buku umpama berada di kedai menjual ikan-ikan hiasan,melihat ikan-ikan meliuk-liuk berenang sudah cukup menggembirakan hati.Aku gemar melihat warna-warna buku,membaca-baca tajuk besar kecil,membelai-belai kulit muka dan belakang buku,menghirup wangian segar buku-buku baru,suatu perasaan yang tiada bahasa dapat menggambarkannya.

Petang semalam,di kedai itu,aku memerhatikan seorang pembantu kedai wanita,awal usia 40-an aku kira.Duduknya disudut kanan tengah kedai,jauh daripada kaunter pembayaran.Tanyalah apa sahaja buku yang ingin dicari,dengan matanya yang cemerlang dan bahasa yang baik wanita ini ada jawapannya.Pakaiannya biasa sahaja, tidak mewah,sama seperti pembantu kedai-kedai yang lain.Sudah tentu gajinya pula tidak mencapai separuh pun gaji pembantu politik ketua-ketua bahagian.

Aku memerhati dari sudut kedai,wanita ini suka sekali memindahkan cerita kanak-kanak yang terdapat dikedai itu ke dalam buku yang seperti buku latihan sekolah, sangat tekun dia menulis namun pergerakannya sangat lembut. Dari jauh,tulisannya kelihatan amat jelas,besar dan bulat-bulat.Kaki aku berat untuk menghampirinya,dan aku diamkan sahaja segala persoalan di jiwa.Aku bersandar badan ke rak buku sambil berfkir, tentu wanita ini menulis untuk anak kecilnya,jauh aku terbayang betapa tabahnya wanita ini setiap malamnya membaca dan mengajari anaknya membaca dari cerita-cerita yang ditulisnya itu.Aku tersenyum.Lalu,aku tinggalkan kedai itu tanpa sebuah buku pun ditangan,namun penuh pengajaran di jiwa.

Untuk anak kecil wanita itu, jika pun dia tidak membaca tulisan aku ini, aku berdoa supaya dia sentiasa bersyukur kerana dianugerahkan wanita yang hebat sebagai ibunya.

Wednesday, March 23, 2011

Memori 1998

Malam tadi aku menonton berita di TV3, sekali lagi dikejutkan dengan satu skandal seks yang amat memalukan,aku juga memicit kepala yang tidak sakit apabila mendengar ulasan dari Zul Nordin.Lantas memori aku memetik kembali kisah 1998,sudah tentu ingatan aku sangat kasar,banyak perkara anda tidak boleh ingati kembali, anda tahukah anda sedang buat apa pada tarikh 9 september 1997 yang lalu?Bak kata Dr.Mahathir.
Perhimpunan sekolah bermula seperti biasa 7.15 pagi, panas mentari hanya bermain-main dipermukaan kulit,sesekali angin pagi bertiup lalu memberi kedinginan pagi dan keindahan daun berguguran.Aku menggosok-gosok lengan yang tidak dilitupi baju.Untuk pelajar yang bangun lambat mereka akan berlari-lari anak ke dewan besar itu,merentasi padang ,dengan stoking di  tangan,ada yang sempat dibasuh dihujung minggu,ada yang tidak sempat dibasuh mengikut tahap kerajinan tuan-tuan stoking itu,natijahnya boleh dilihat pada warna stoking nan putih itu.
Aku menguap panjang,aku memang yang jenis yang lambat panas diawal pagi.Tetapi pada pagi itu,ustaz bangun memberikan ucapan,dimulakan dengan tahmid kepada tuhan secara ringkas dan terus dengan pengumuman pemecatan DSAI akibat daripada skandal salah laku seks.Memori rajah kasar aku tidak pasti sama ada dewan besar itu kecoh atau tidak,namun aku sangat terperanjat menerima berita itu.Di asrama sok sek kami berbual tentang berita itu diwaktu senggang antara kelas pagi dan prep petang di bucu-bucu katil.
Peristiwa itu membawa arus perubahan besar di sekolah ketika itu, ada sesetengan tenaga pengajar begitu aggresif dengan menampal artikel-artikel menyebelahi DSAI di dalam kelas.Cakap-cakap politik di sana sini di setiap sudut sekolah.
Dan sempena mengambil peristiwa itu,terjadilah penawanan Dewan Besar dan guru-guru oleh pihak pelajar. Guru-guru dikunci di dalam dewan besar itu dan desakan untuk pentadbir sekolah supaya berundur atau memberikan penjelasan mengenai hal tadbir sekolah diteriakkan di dalam dewan sambil sepanduk dijulang tinggi.Pelajar tidak puas hati dengan yuran,kutipan derma dan sebagainya.Perkara ini tidak bersangkut paut langsung dengan Peristiwa Pemecatan itu,pelajar hanya meminjamkan semangatnya sahaja.Namun ia tetap terpahat sebagai sejarah hitam untuk sekolah,kesannya sukar dihapuskan buat beberapa tahun,banyak hati yang terasa.
Telah lebih 1o tahun berlalu,aku tidak mengetahui nasib pelajar-pelajar yang mengetuai riot itu samaada mereka masih bersama-sama dan mengetuai perubahan di dalam negara dan masyarakat atau tidak.Yang jelas skandal seks itu masih dikitar semula di dalam politik negara.Jika abang-abang masih ada sekelumit kecil memori dan semangat tahun 1998 itu mari kita pinjamkan ia sedikit untuk sebuah negara yang kita cintai ini.

Monday, March 21, 2011

Tak sehat

Semalam aku melayan ketidaksehatan badan aku,dengan hidung yang tersumbat,tekak yang sakit untuk menelan air liur seperti dicucuk-cucuk duri aku hanya terbaring ditilam. Selepas menghantar  isteri ke tempat kerja aku pulang,makan ubat dan tidur sehingga jam 12 tengahari.Mujur aku tidak mengikuti program di BM semalam.
Setelah aku menyelesaikan beberapa kerja rumah aku ke Giant dan mencuci kereta, kalau tidak silap lebih sebulan aku tidak mencuci kereta. Apabila aku tidak sehat aku gemarkan makanan yang aku tak ingin makan sewaktu sehat, aku pekena meggi claypot tomyam dan juga pulut mangga. Rasa tomyamnya boleh tahan,tetapi hanya ada 5 bahan rencah yang telah dipotong ntah berapa bahagian seperti sosej,bebola ketam dan lain-lain.Pulut mangganya rasa mangga dan pulutnya sangat lembik, aku rasa santan yang dicurahkan mempunyai tahap gula yang agak tinggi tetapi santannya cair,kalau di letakkan di dalam cawan mungkin 5/10 orang akan menyangka itu air kosong ;p.
Singgah di kedai buku, membeli sebuah novel  Inggeris dan juga buku penulisan untuk dihadiahkan untuk isteri. Keinginan isteri untuk mengambil Public Health sudah tidak dapat ditapi-tapi lagi, meski aku percaya isteri aku sangat berbakat di ruangan pediatrik dan juga O&G. Namun aku tetap doakan semoga di dalam Public Health beliau akan menyumbang secara lebih optimum kepada masyarakat,tujuan aku membeli buku itu? Oh aku kira sudah tentu Public health itu perlu dekat dengan masyarakat kerana ia bersifat preventif, sudah tentu bidang penulisan dapat mengisi antara ruang-ruang skop kerjanya nanti ( aku sudah bersyarah panjang lebar untuk ini kepada isteriku ;p).
Akhir kata,sakit itu tanda ingatan Allah untuk kita.Bakti sang isteri pula sangat manis untuk dikenang.

Monday, March 7, 2011

Kaku

Aku kaku
Diikat waktu
Sampai masa akan terlerai jua
Akan aku berlari,
Di saat ada cahaya di lorong sunyi,
Kan ku toreh wajah pengemis,
Yang sinis ketawa...
Biar berdarah,
Untuk ku obati kudis luka hati.