Monday, November 29, 2010

Ada Benda Yang Kita Sengaja Biarkan ia Putih

Bab Pertama.
Aku berbaring malas di sofa,lagak tipikal suami masa kini.Di tangan novel karangan John Grisham "A Time To Kill" sambil dihadapanku berputar Filem "The Social Network". Aku membaca sambil menonton untuk pura-pura tidak mendengar isteriku sedang bekerja di dapur.
Bab ini bersambung nanti ya...

Oleh kerana aku ada menulis tentang warna di sini, isteriku bertanya warna apakah dia di hatiku ini.Oh...kenapa setiap persoalan yang sulit selalu dikaitkan dengan warna.Aku terdiam, dia tersenyum,matanya berkelip. Mungkin menantikan jawapan yang berbunga-bunga dan yang indah-indah belaka,bisik hatiku. Aku buntu,mujur matanya yang redup itu membuatkan saraf-saraf otak kananku bekerja.Jawapku...Sayang,sebelum dikau hadir, mungkin hidupku ini hanya ada warna hitam dan putih, atau mungkin juga warna yang kelam-kelam sahaja. Tetapi selepas kehadiran dirimu itu,dikau telah mewarnakan lagi duniaku ini dengan seterang-terangnya.Ringkasnya dikau adalah pencorak warna di dalam hidupku ini.Dia diam, mungkin mengerti dan mungkin tidak...

Bersambung Bab Pertama tadi ya,
Abang,mintak maaf...suatu suara berkumandang dari dapur diikuti oleh bunyi derapan deras kaki menuju ke arahku.Sosoknya jelas, manja tapi tegas.

Abang...suaranya lemah disebalik sosoknya yang tegas itu.Mintak maaf sebab terkalerkan baju abang,pengakuannya ringkas.Aku terdiam dan tertunduk.Aku cuba belai hatiku ini dengan ucapan istiqhfar.Lalu dengan segala tenaga yang ada,perlahan-lahan aku mengangkat muka dan merenung tepat ke arah matanya itu.Sekali lagi matanya yang redup itu menyelamatkan keadaan.Dengan mulutku yang terketar-ketar aku titipkan suatu nasihat yang berguna untuknya agar dia ingat sampai bila-bila, harapku. Sayang...bisikku antara dengar dan tidak.Walaupun sayang adalah orang yang mewarnakan hidup abang dengan seterang-terangnya malah dengan warna yang paling indah sekalipun, tetapi percayalah ada benda yang di dalam hidup abang yang abang sengaja biarkan ia putih tidak berkaler. Dia tersenyum lalu ketawa...aku terkedu lalu tertunduk, membiarkan pandanganku jatuh tepat pada baju t-shirt putihku yang bertukar ke warna pink.

Saturday, November 27, 2010

Hidangan Malam (I)

Minggu ini aku ingin memenuhi selera aku dengan keenakan ayam yang dimasak dengan cara barat.Jadi aku singgah ke satu restoran francais ini, bukan restoran yang memaparkan iklan ayamnya lebih besar dari gelas kertas air berkarbohidarat,ataupun bukan gambar burger yang isinya lebih kurang sama besar dengan rotinya, dan juga bukan roti bulat dan leper yang penuh dengan isi ikan dan daging di atasnya,bukan..bukan...bukan...

Hidangan yang aku pilih Chicken Cordon Bleu dan untuk minuman aku cuba menyenangkan diri memilih Coffe Macchiato. Manakala pengiringku memilih Lasgne Beef dan untuk minuman Iced white Chocolate coffee.Buat penutup hidangan,kami memilih sepotong Chocolate Indulgance. Sebenarnya aku lebih menyukai kek karot, tetapi pengiringku menyukai benda-benda yang lembut dan berkrim,jadi aku ok sahaja.

Chicken Cordon Blue yang aku tidak tahu apa maksudnya, adalah seketul daging ayam tanpa tulang yang menutupi cairan cheese di dalamnya.Dihidangkan tanpa sos istimewa beserta jejari kentang dan beberapa potong tomato,salad disamping sesudu mayonis di atasnya.Oleh kerana aku berdarah Asia,aku senang sekali menikmati seketul daging ayam itu beserta sos botol.Untuk rasa, ia agak sedap, combinasi ayam dan cheese lalu dicecah dengan sos amat menyelerakan. Daging ayam itu sangat lembut, mudah dipotong dan berbau harum.Luaran daging ayam itu sangat ranggup dan tidak berapa berminyak,baik untuk kesihatan.Untuk minuman Coffe Macchiato, ok sahaja. Foam di atas permukaan coffee gagal memberikan rasa berkrim untuk secawan kopi itu, rasanya agak pahit tetapi tidak berapa pekat.Dan sebenarnya tidak memiliki sebarang keistimewaan dari segi rasa.Sampai di sini sahaja hingga berjumpa kembali.

Wednesday, November 24, 2010

Rambut BaruKu

Pukul 1800. Waktu untuk pulang ke rumah, hujan sudah teduh.Aku menaip ringkas.Lantas menghantar sms kepada isteri.

Kau adalah kurnia tuhan sungguh,
Mimpi bersamamu terang,
Gurau bersamamu riang,
Tangis bersamamu tenang.


Kata orang untuk mengambil hati isteri gunakanlah ayat yang terbaik dari yang terbaik.Dan ekspresikan kerinduanmu itu dengan sungguh-sungguh untuk mengambarkan yang dirimu tidak sabar-sabar untuk pulang ke rumah.Ibarat anda membuka seluar di dalam tandas tatkala sesuatu sudah tersembul di belakang anda.Tut..tut..tut..nokia XXX aku bersuara ringkas ( *XXX,maaf aku bukan peminat tegar model telefon,kalau kopi ok la)Kemudian aku menerima balasan sms dari isteri.

Madahmu penyeri hari, Ku ingin kau selalu di sisi.

Tanpa tertahan-tahan aku menaip laju dan membalas ringkas.

Lembu Pak Pie makan rumput,abang nak pergi gunting rambut.

5 minit kemudian…..10 minit kemudian…..100 minit kemudian….tiada balasan.Merajuk?Maaf kekasihku, abang hanya menganggap diammu itu tanda sayang tertidur dan sayang jangan risau abang dah siap-siap bawak kunci rumah.Jika sayang sempat menukar mangga dan tombol pintu rumah,tinggalkan sedikit kasih sayangmu itu dengan meletakkan selimut dan batal seketul dua di pinggiran pintu hatiku.hehehe…;)


p/s: Untuk gunting rambut eloklah bawa isteri kerana isteri adalah pengkritik yang sejati.

Monday, November 22, 2010

Sahabat,Dikau adalah Warna-Warna di dalam diri ini.

Cuaca pada pagi hari ini amat indah,tidak panas dan tidak terlampau sejuk.Dinginnya hanya bermain-main di permukaan kulit,tidak mencecah hingga ke tulang.Aku berjalan malas,sambil melihat burung layang-layang terbang bebas.

Seorang Sahabatku bertanya, apakah pandangan aku bila pertama kali berkenalan dengan dirinya.Aku bersandar malas,bukan kerna aku tidak tahu jawapannya,tetapi aku masih memikir-mikir jawapan yang baik yang harus aku beri,sesekali jari jemariku mengusap-ngusap dagu,kata orang bijak pandai itu tandanya orang yang sedang berfikir,entah la.Dengan tersekat-sekat seperti lewat nafas terakhir aku menjawap yang pada mulanya aku berasakan ada sesuatu yang istimewa dalam dirinya,lantas membuatkan aku ingin lebih mengenalinya.Dia melontarkan soalan lagi ibarat peluru machine gun( aku tidak tahu sama ada dia "kembang" atau memang sebegitu sifatnya;gelojoh ingin tahu,haha) ,sekarang bagaimana? Aduh, tatkala aku bermain-main dengan nombor di papan kekunci komputer, dia melontarkan soalan abstrak sebegini…aku membalas soalan dengan sebuah persoalan,bagaimana pandangan kamu terhadap diri kamu?Terus dia berdalih dan kembali melontarkan soalan yang sama,mungkin tidak paham bahasa yang aku tidak punyai sebarang jawapan…Tambah-tambah aku tidak tahu adakah ia tulus ikhlas inginkan jawapan atau sekadar melontar malas soalan itu.

Baiklah..sambil aku memandang ke jendela kehidupan aku menjawap(mungkin ada sinar jawapan di sana).Untuk semua yang ku kenali,setiap kali untuk setiap pertemuan, aku akan cuba mencari yang istimewa.Setiap kali untuk setiap perkenalan mungkin yang istimewa itu terpancul lebih, tetapi mungkin selepas tika perkenalan yang istimewa itu telah menjadi biasa-biasa sahaja.Tetapi percayalah setiap insan mempunyai kepelbagaian warnanya yang tersendiri dan aku cuba untuk menghargai setiap warna itu kerna aku percaya setiap warna itu sebenarnya adalah terbias dari warna-warna diri ini.Lihat alam,warnanya ada satu tetapi disebalik warna itu sebenarnya tergabung dari kepelbagaian warna dan corak. Untuk kamu,kamu adalah salah satu dari warna itu bagi aku.Mungkin juga kamu adalah warna yang paling terindah yang pernah ada dalam diri ini.

Dan untuk soalan kamu itu ini jawapannya.Cuaca hari ini masih sangat indah,begitu juga kamu sehingga kini.

Sunday, November 21, 2010

Doa aku setiap pagi

Doa aku setiap pagi.

Semoga aku belajar dan mengerti untuk setiap detik yang aku bakal dilalui.
Semoga senyumanku sentiasa ceria dan membahagiakan manusia ramai.

Semoga kudrat tenaga berbakti untuk ibu tercinta 
Semoga dihati sentiasa mengingatkan kasih sayang seorang isteri.
Semoga dimataku sentiasa bermain wajah suci puteraku.
Semoga Tuhan merahmati aku.


Rahmat tuhan itu amat indah, keindahan yang hanya dapat diungkap dengan Subhanallah....daku antara hamba-Mu (jika tidak yang paling beriman) yang takjub lalu bersujud memuja-Mu.

Indahnya menjadi malaikat di langit tuhan.

Saturday, November 20, 2010

Servis Kereta

Menyelenggara sesebuah kereta itu satu kerja yang sangat leceh dan juga melibatkan kos yang agak tinggi.Bayangkan ia memakan masa separuh hari dari hari anda,sudah tentu aku pernah mengalaminya sekali sekala,agak menyampah.

Sebelum itu,membeli sesebuah kereta selain harga kereta yang menjadi timbang tara,total owning cost/ownership cost wajib diambil kira daripada kos road tax tahunan,insurans, bayaran bulanan,fuel consumption,daya ketahanan kereta(bagi yang setiap hari menempuhi perjalanan jauh) dan juga kos penyelenggaraan.Ada kereta yang agak mahal harganya tetapi dari segi fuel consumption dan spare part agak murah dan begitu juga sebaliknya.

Tengahari tadi aku menyelenggara kereta vios di pusat servis Toyota.Oleh kerana aku menggunakan kereta Myvii dan Toyota dan melakukan servis berkala di kedua-dua pusat servis ini maka aku melihat beberapa aspek perbezaan yang agak ketara yang melibatkan perkara non-technical.Aku sudah menyelenggara Myvii aku di dua tempat yang berlainan dan SOP-nya lebih kurang sama dan aku beranggapan ia tetap sama untuk pengeluar kereta yang lain.

Untuk servis berkala, kos untuk kedua-dua jenis kereta ini agak sama, sama ada kos untuk buruh dan juga minyak enjin. Toyota lebih terkedepan dengan meyediakan check list untuk penyelenggaraan akan datang berserta dengan kosnya sekali.

Dari segi ruang menunggu untuk pelanggan,Toyota menyediakan tempat yang agak selesa dan turut menyediakan cofee machine yang minumannya pelbagai pilihan dari white coffee,nescafe,rico dan nestum. Manakala Perodua hanya menyediakan paket 3 in 1 yang agak murah jenamanya. Untuk kudapan kedua-dua pusat penyelenggaraan tidak menyediakan kuantiti yang mencukupi, seringkali kehabisan seawal pagi lagi.Dari segi kemudahan internet,Toyota menyediakan 2 komputer secara percuma.Kedua-dua pusat servis menyediakan surat khabar tetapi ruang menunggu Toyota agak besar berbanding Perodua.Dari segi servis, apa yang menarik Toyota menyediakan khidmat cucian secara percuma yang boleh difikirkan oleh Perodua sebagai nilai tambah untuk pelanggan.Tetapi dari segi layanan pelanggan,Pusat Servis Perodua memberikan penerangan yang secukupnya dan kelihatan lebih ramah serta berpengetahuan.Ia mungkin perkara subjektif dan berlainan di antara pusat servis tetapi sebagai syarikat yang mempunyai banyak cawangan standard of operation perlulah dikawal selia oleh semua pihak.

Mujur pada kali ini ia hanya mengambil masa 1 jam 30 minit.

Tip: Jangan membawa kekasih anda semasa servis kereta,jika tidak tak sampai 5 minit mereka akan menyuruh anda untuk menanyakan hal bila kereta anda nak siap.

Sebening Pagi Aidil Adha

Aku bersandar di sudut surau,sesekali membetulkan dua jarum peniti yang melekat antara celahan butang baju(kerana kekasihku terlupa membawa butang baju melayu ;P).Sambil mulut mengikut-ngikut takbir yang dikumandangkan,tanpa sedar pikiranku melayang, sesekali bila tersedar pantas menyelami kembali kepada makna,kemudian mengelamun kembali. Atmosphera-nya seperti hari-hari biasa,yang berbeza cuma manusia berkumpul di rumah tuhan beramai-ramai di awal pagi dan juga lembu-lembu berehat-rehat dengan tenangnya sambil rumput penuh di kembungan pipi,di pinggiran surau dan masjid tanpa ada yang tahu urat lehernya akan dihiris putus.
 
Jiwa-jiwa kita sangat jauh dari semangat hari raya korban.Banyak sirah di dalam hari raya korban ini yang selalunya hanya singgah dan menyapu sisi telinga. Pengorbanan Nabi Ibrahim as dan Nabi Ismail as selalu disurahkan, kita mendengar dan kita melihat,ia hanya sebuah kisah yang biasa-biasa yang membawa kepada penyembelihan binatang korban yang padanya diikuti oleh umat Muhammad saw.Namun kita gagal menyelami erti cinta kepada tuhan dan erti cinta disebalik kasih sayang kepada anak.

Siapakah yang dapat menandingi cinta seorang ayah kepada si anak seperti Ibrahim kepada Ismail.Anak yang didambakan bertahun-tahun tetapi terpaksa diserahkan kepada padang pasir yang tandus dan dahaga.
Siapakah yang dapat menandingi cinta hamba kepada Penciptanya seperti Ibrahim as terhadap Rabb-nya.Setelah diuji dengan pencarian siapa tuhan,diuji dengan pembakaran diri,cintakah Tuhan kepada dirinya seperti dirinya cinta kepada Tuhannya,kerana hampir semuanya diuji dengan penderitaan.

Setelah anak kembali kepangkuan,cintanya diuji kembali, cinta kepada pencipta dan kasih kepada anak diuji dengan sebilah pisau tajam di urat leher.Perintah apakah ini?Namun Ibrahim as tetap taat,patuh kepada Penciptanya.Dengan berat hati namun dengan penuh redha, dengan sedih namun penuh taat.Semuanya hanya kerana satu...anak dan bapa sangat menyintai Pencipta yang agung dan Pencinta yang setia.

Aku melihat jam di dada surau.8.30 pagi, waktu untuk solat.Waktu untuk mengadu dan memperakui kelemahan diri kepada Sang Pencipta.Semoga diberi kekuatan taqwa seperti bapa kita Ibrahim as dan anak yang soleh Ismail as.

p/s: mengapa terlalu lambat menulis tentang hari raya korban?Ala sedangkan Malaysia ini pun boleh terlewat sambut Hari Raya Aidil Adha...

Wednesday, November 17, 2010

Anak Bison Yellowstone

Kumpulan Bison Yellowstone hidup di Utara Amerika.Hidup di dalam kumpulan dan bersifat nomad. Tambah-tambah di Utara Amerika, musim kering dan salji sering menyelubungi kawanan ini ditambah pula serangan-serangan daripada kawanan pemangsa seperti serigala dan koyote yang lain.Sebagai hidupan spesis mamalia, bison menjaga dan menyusui anaknya sehingga waktu tertentu. Mekanisme pengecaman anak-anak bison ini oleh kumpulan mereka melalui bau.Sudah menjadi lumrah anak kecil,daya ingin tahu mereka amat besar, suatu hari seekor anak bison jatuh ke dalam lumpur, anak bison ini berusaha untuk melepaskan diri dari perangkap lumpur, dengan usaha yang ada anak bison ini berjaya. Malangnya, apabila anak bison ini kembali kepada kumpulan bisonnya, dia telah ditanduk dan disepak keluar kerana bison-bison dewasa tidak dapat mengenali bau anak bison ini, bison-bison dewasa ini menganggap anak bison ini datangnya dari kumpulan yang lain. Anak bison ini tetap berusaha untuk masuk ke dalam kumpulan ini, dan setiap kali berusaha setiap kali itulah ditendang dan ditanduk keluar.Kerap kali anak bison ini tersungkur jatuh apabila ditendang dan ditanduk keluar, bukannya tidak sakit,tetapi anak bison ini tetap mencuba. Sesuatu keajaiban terjadi, langit menurunkan hujan sebentar,mungkin menangisi anak bison ini, sebelum mentari meneriakkan cahayanya kembali seolah-olah memberi sinar harapan kepada anak bison ini. Tubuh yang bersaluti lumpur itu bersih akibat tangisan langit lantas dikeringkan oleh terik mentari pengharapan. Anak bison kembali dicam oleh kumpulan bison dewasa itu. Dia diterima kembali.


Kadang-kadang kita berusaha tetapi setiap kali itu kita gagal, kita bangun kembali, dan kita jatuh. Namun diakhirnya pertolongan Allah tiba dengan jalan yang kita tidak sangka-sangka .Selagi mentari masih terbit di ufuk timur, selagi ada hari esok, janganlah sesekali berputus asa dan berilah harapan itu kepada Allah. Allah sebaik-baik tempat berharap.Bukankah begitu?

Rahsia Kehidupan

Dicelah kepekatan malam, aku dan sahabat aku berbual panjang, berkenaan hati dan perasaan. Di sana dia menyoalku dengan satu soalan, mengapa aku tidak menulis. Pantas aku menjawap,kerna aku kurang membaca. Masakan orang yang kurang membaca akan melahirkan tulisan yang baik.Sahabatku mengangguk-ngangguk, mungkin tanda paham atau mungkin sahaja malas untuk menghadam jawapan aku itu.Lantas, beliau melontarkan lagi persoalan, jadinya orang yang kurang membaca ini kurang akalnya?. Aku tidak menjawap,hanya diam.Dia melunjurkan badannya, mungkin kerana kesejukan malam. Aku tidak pandai membaca tulisan-tulisan yang rumit, tapi aku mengerti bahasa alam, bahasa orang bercinta, bahasa burung-burung yang terbang girang, bahasa seorang nelayan yang pulang ke rumah membawa hasil tangkapan untuk anak-anaknya,bahasa hamba yang merindui rabbnya.Dan aku meyakini bahawa semuanya telah tertulis di atas sana,sambil jarinya menunjuk ke langit gelap.Aku hanya mengambil ibrah tentang apa yang telah tertulis di sana. Aku yakin setiap yang terjadi mempunyai rahsianya yang tersendiri.Setiap perkara adalah mempunyai keistimewaannya tersendiri.

Insan yang merasakan bahawa hari-harinya adalah sama adalah insan yang gagal mengesan sebarang kebaikan di dalam hidup mereka.Aku berkata-kata kepada hati.

Monday, November 15, 2010

Mengapa Menulis

Aku ingin menulis.Namun aku sudah terlupa apa tulisan pertama aku dahulu dan apa tulisan terakhir aku.Kita belajar sedari abjad ke suku kata,kemudian perkataan, dari perkataan ke ayat-ayat yang lengkap sehingga dapat merungkai sebuah cerita.Ada dikalangan rakan-rakanku yang telah menulis buku,cerpen dan sebagainya, dan sudah tentu aku sangat kagum dengan kemampuan mereka.Untuk aku menulis hanyalah sebuah medium untuk aku menilai siapa diri ini,sebagai salah satu cara mengkoreksi diri,mungkin.

Sudah tentu catatan ini bukanlah seperti catatan di dalam Histoire de ma vie oleh Giancomo Casanova,The Rihla oleh Ibn Batuta.Ia juga bukanlah catatan perjalanan penuh (spiritual?) seperti Quran and Cricket oleh Farish A Noor, sudah tentu bukan seperti Like Flowing River oleh Paulo Coelho jauh sekali seperti Trilogi Cinta dan Kehidupan oleh Al-Fadh Hasrizal.Ia hanyalah catatan ringkas untuk aku mengenali diriku sementara berteduh di bawah pohonan kehidupan ini buat perjalanan yang abadi.Sebagai seorang suami, ayah,anak, pekerja, dan juga hamba-Nya.

Hidup ini terlalu pantas buat aku,dari bermain guli,menangguk ikan di anak sungai,belajar mengejar dan mencipta mimpi di usia baligh,mengenal erti keadilan,kesaksamaan di universiti,berkenalan dengan isteri di hari konvokesyen masing-masing dan berkahwin selepas setahunnya dan dikurniakan anak 10 bulan kemudian.Semuanya sangat indah. My name is Shah, this is my story....;P.