Dalam keheningan senja,
Yang kuningnya menyimbahi muka,
Aku duduk kesorangan,
Mengarang kata,
Menyulam makna,
Melepaskan rasa,
Benarkah tiada baris dapat ku coretkan,
Segala akal dan rindu?
Dan
Malam pun menjemput malu,
Namun seri purnama tanpa senyummu,
Sinar kejora tanpa kerdip matamu,
Nyanyian alam tanpa suaramu,
Gelap,sunyi dan sepi,
Dan sepi itu adalah hatiku,
Dan
Mimpi pun mula berlayar,
Terus berlayar,
Melabuhkan kasih di taman indah,
Keindahannya kerana bunga,
Usai sahaja solat tarawih 8 rakaat 2 orang sahabat lama yang
berlainan usia lepak-lepak di warung mamak.3 rakaat witir yang selebihnya
hendak dibuat di awal pagi sebagai tambahan solat malam alasan mereka.
Wajah warung mamak ini tidak ubah wajah salah satu warung di
Kerala,sangat harmoni dengan alam sifatnya, tikus-tikus sekali sekala berjaya
melintasi kaki-kaki kerusi dan meja makan.Sambil tangan Cikgu Pali mencicah
roti ke kuah dal,Cikgu Pali tanpa sebab berpesan kepada Meon hati-hati kalau
nak makan roti tanpa telur,takut nanti takut dekat bini. Meon hampir terpancut
keluar kembali roti tanpa telur itu dari bibirnya.Tak boleh jadi Cikgu Pali
ni.Main perli-perli(mana dia tahu aku takut bini?),sudahlah dia cikgu BM kalau
hendak perli pun gunalah bahasa melayu yang tinggi tanda adat melayu,keris
sahaja panjang,sungutnya di dalam hati.Cikgu pun hati-hati kalau nak pilih
capati,sambil menunjukkan banner warung itu;gambar seorang wanita separuh abad
bermain badminton,bererobik dan berjogging dan ada perkataan JANJI AKU
MANIS(dengan huruf besar) dihujung jari telunjuk wanita itu.Cikgu Pali
terkebil-kebil cuba mencari hubungkait antara capati,janji,wanita dan banner
warung itu,setahunya pemilik warung itu lelaki jantan tulen yang kacak
berbibirkan kemerah-merahan.
Cikgu Pali masih tidak puas hati.Engkau jangan tak tau,cikgu
lagi suka roti tampal-tampal.Roti ni akan ditampal di mana-mana lokasi strategik(seperti
LRT,tiang-tiang elektrik,lori-lori membawa bekalan air) menunjukkan betapa
eloknya roti ini.Eloklah tu cikgu,lepas tu cikgu makan pula Roti
Mubarak(sengaja disalah eja “murtabak”,roti untuk orang-orang yang pencen dan
kaya tetapi masih ada hati cuba merebut jawatan Presiden Penjaja-Penjaja Roti semenanjung.Cikgu
Pali menghempas roti ke kuah dal lalu disuap ke mulut(ada bunyi side effect ala
filem Rajinikanth hero pujaan asia)sambil melontarkan bilah-bilah perkataan yang
tajam.Engkau tu pula jangan suka sangat dengan roti prata nan berproton,harga
dahlah mahal,mutu kesedapan tiada.Lepas tu komplain kalau jual murah nanti
bangkrap.Senang sangat kena tipu.Namun perdebatan mereka terhenti...
Sayup-sayup dari tempat mereka kedengaran pelanggan yang
duduk di tepi longkang yang airnya semakin mencengkam keras mengorder
roti.Pelanggan itu memesan Roti Nan Bermasalah,pekerja warung itu menggaru-garu
kerak kepala sambil bertanya lanjut.Pelanggan itu membalas malas ringkas dia
mahukan semua roti-roti yang ada diuli dan dibakar bersama.Pekerja itu pun berlalu
pergi ke tempat penguli dan pembakaran roti sambil menggeleng-geleng
kepala.1Masalah...1Masalah sungutnya.Kawan penggulinya hanya menunggu dan
memerhatikan sambil menjentik lebihan tahi hidung di jari telunjuk.
Dari jauh ada susuk yang tersenyum melebar melihatkan ramai
orang makan roti-roti yang dihidangkan.Sambil mengusap-ngusap kepala yang
separa botak.Lalu memandang kepada isterinya yang dan bertanya “ayang nak
shopping apa lagi esok hari?”
Kisah ini disampaikan kepada aku sewaktu
aku menginjak ke usia belasan tahun.
Begini kisahnya.Di sebuah kampung di
pinggir sebuah gunung hidup seorang anak kecil bersama datuknya.Hidup mereka
dikelilingi hutan dan batu-batu gunung,pondok mereka berhampiran anak sungai
yang mengalir dingin.Kulit datuknya agak kehitaman,tapak kakinya pula agak
keras dan menggerutu,kasar kedua belah tapak tangan menunjukkan betapa usia datuknya
dihabiskan untuk berbakti pada bumi buat menjamah sesuap rezeki.Rezeki sentiasa,yang
tinggal hanya kita perlu mencarinya. Begitulah yang selalu dibisikkan oleh
datuknya kepada anak kecil tersebut.
Setiap hari lewat petang,sebelum malam
menjemput datang,datuknya akan menghabiskan sisa-sisa cahaya yang ada untuk
membaca Al-Quran.Setiap hari tanpa ada mungkir.Kerana apabila malam
menjemput,mereka hanya bertemankan dengan cahaya bulan.Kayu dan arang bakar
yang ada hanya untuk dibuat jualan,fakir tetapi rezeki itu ada pesan datuknya
lagi.
Suatu malam sesudah mengalas perut sebelum
menunggu mentari muncul,anak kecil tersebut datang perlahan-lahan ke tempat
beradu datuknya.Dan dengan perlahan melabuhkan kepalanya ke bahu datuknya.
Dengan lemah lembut datuknya menyusap-ngusap kasih rambut cucunya.Tangan comel
anak kecil yang berusia 7 tahun itu bermain-main dengan tangan kasar
datuknya.Dia meminta izin untuk bertanyakan sesuatu dan mengharapkan
pertanyaannya itu tidak menyakiti hati datuknya.Usianya setahun jagung tetapi
sangat memahami dan menghormati.Datuknya dengan muka yang redup mengangguk
perlahan sambil tersenyum.
“Tok,mengapa saya lihat Tok membaca
Al-Quran setiap hari sedangkan kita tidak memahaminya”,soalannya ringkas sambil
terus bermain-main dengan tangan datuknya.Datuknya tidak menjawap dan hanya
menghadiahkan sebuah kucupan di dahi.”Esok datuk bagi jawapannya,tidurlah
sekarang”, begitulah datuknya,kurang bercakap tetapi murah dengan senyuman dan
kasih.Bercakap hanya perlu.Malam itu mata anak kecil itu tidak boleh berlabuh
dengan rapat,masih mengagak-ngagak jawapan yang akan diberikan esok hari.
Pagi itu,mentari masih menyorok-nyorok malu
di celahan gunung,anak kecil itu dan datuknya duduk-duduk di bongkah batu di
tepi anak sungai sambil menghirup udara pagi.Datuknya memberikannya bekas
mengangkat arang dan sisa kayu api dan mengarahkan cucunya mengisi air di bekas
itu untuk dipenuhkan tempayan di sudut pondak mereka.Dengan syarat sehari hanya
sekali angkut.Anak kecil itu pun melangkah malas menuju ke sungai, cubaan kali
pertama gagal kerana bekas itu bocor tanpa disedarinya.Anak kecil itu berdiam
diri tidak mahu bertanya.
Untuk hari kedua,anak kecil itu melangkah
malas ke sungai untuk mengisi air lagi,dengan berlari separuh tenaga anak kecil itu cuba mencapai tempayan di sudut
pondok, tetapi masih gagal lagi.Masuk hari kesepuluh,anak kecil itu tidak mahu
cuba lagi.Lalu datuknya bertanya dengan lembut mengapa.”Tok,setiap hari saya
cuba membawa air dari anak sungai ke tempayan dan setiap kali itu jugalah tidak
berjaya” omel anak kecil itu sambil jari telunjuknya menunjuk-nunjuk ke arah
setiap lubang-lubang kecil di dasar bekas itu.Bibirnya diketapkan,mungkin tanda
merajuk atau boleh jadi tanda putus asa.
Datuknya tersenyum dan mengungkapkan
baris-baris ayat yang tidak pernah akan anak kecil itu lupakan.
Bekas yang hitam ini umpama hati
kita,sangat hitam lantas kita tidak pernah akan perasan akan masalah dengan
diri kita.Dengan bekas yang hitam ini kita cuba penuhi tempayan dengan air dari
anak sungai,namun tidak berjaya kerana rupanya ada lobang-lobang kecil di
sana-sini yang kita tidak pernah ambil tahu barangkali akan kewujudannya.Setiap
kali kita lakukan dan setiap kali itu kita gagal.Namun kita tidak pernah
perasan bahawa warna hitam arang disetiap pelosok bekas itu telah dibawa pergi
sedikit demi sedikit oleh air setiap hari. Lantas akhirnya kita nampak
lobang-lobang kecil di sana sini,lalu kita perbaiki dan tampalkan ia.Akhirnya
tempayan itu pun akan penuh.
Begitulah hati kita, sangat hitam dan hanya
akan menjadi putih dengan hanya kita tempuhi dengan jalan kebaikan,dan salah
satunya dengan membaca Al-Quran.Kita baca dan baca tanpa henti,lalu ia menjadi
putih.Kita akan lihat kebocoran di setiap sudut hati kita.Lalu kita perbaikinya
dengan isi amal Al-Quran sehingga menjadi teguh hati kita.Dan setiap kali kita
tinggalkan tugas penyucian dan pengamalan itu setiap kali itu juga hati kita
menjadi hitam sedikit demi sedikit.
Setiap kali aku malas membaca Al-Quran, aku
akan cuba mengingati kembali kisah ini.
Pagi ini aku diberikan kad ucapan selamat untuk kelahiran orang baru pertama kali bagi sepasang pasangan yang juga kawan aku.Aku menulis ucapan dengan agak panjang.Meski akan diomel oleh kawan aku(dan dia telah buktikan atau itu memang sifatnya??).Ini ayatnya....
May seeds turn into wheat, May wheat turn into bread, May bread turn into lovely breakfast...
May your baby turn into brave men, May your brave men turn into lovely person... Just like your both.....
Lahirnya cahaya mata di dalam keluarga secara langsung melahirkan sebuah harapan yang baru.Sebagai ibu bapa kita sering ingin anak kita melakukan,melalui,mendapat dan menjadi insan yang terbaik malah lebih baik dari kita.Boleh jadi keinginan kita itu kita salurkan dalam bentuk gesaan dan paksaan,nasihat dan galakkan,denda dan penghargaan dan sebagainya.Boleh jadi keinginan kita itu menjadi beban yang berpanjangan kepada anak-anak.Tapi yang pasti semuanya adalah untuk membentuk mereka menjadi insan yang terbaik(atau menjadi insan seperti yg kita harapkan dan gambarkan).Namun satu nasihat yang aku tidak akan pernah lupa dan selalu aku syarahkan pada isteri aku.
Begini,kita mungkin menitipkan beribu-ribu kata nasihat untuk mereka,dan mungkin kita pernah menghadiahkan dan mendenda mereka beratus-ratus kali untuk setiap satu kejayaan dan kesilapan mereka.Setiap kali itu boleh jadi mereka lupa atau ingat(atau dendam).Tetapi mereka tidak pernah akan lupa apa yang kita lakukan dan tunjukkan kepada mereka.Lalu mereka akan contohi.Tingkah laku mereka adalah cerminan kita.
GAPENA bersuara kembali,soal
bahasa ini tenggelam timbul sifatnya,suam-suam kuku darjah kepanasannya di
media massa.
Di satu hari pada musim panas
yang lalu aku berada di tengah perut sebuah bas menuju ke Kota Venice,Itali.Aku
tidak pasti apa yang menariknya di Venice; aku suka biarkan persoalan itu
terbit dan bermain-main begitu.Jika aku keseorangan berjalan-jalan aku
selalunya tidak ambil kisah tentang apa bakal tempat menarik untuk aku
lawati,peta juga tidak di tangan( Jika dengan isteri aku,sudah tentu dia akan
membuat rujukan dan kajian yang terperinci tentang tempat menarik yang harus
dilawati).Untuk aku,aku lebih senang membiarkan kaki melangkah ,mata melirik ke
papan-papan tanda dan "brochure" sambil mulut sesekali ringan bertanya orang di
situ tentang tempat yang menarik yang aku harus jelajahi.Dalam pada itu sudah pasti
banyak kali tersesat.Hanya sesekali sahaja aku membuat rujukan dan kajian
ringkas itu pun hanya untuk tujuan tertentu.
Di sebelah aku duduk seorang
lelaki Itali kelahiran Argetina.Oleh kerana lelaki tersebut duduk disebelah
tingkap maka dia dengan lembut mempelawa aku untuk bertukar tempat dengannya
apabila melihat aku terkinja-kinja cuba menangkap gambar permandangan di luar.Aku
menerima dan melahirkan penghargaan tentang kemurahatian lelaki Itali tersebut.Di
celahan dua telapak tangan lelaki Itali tersebut terselit buku yang mata aku
pernah lawati isinya.Kebetulan penulis buku tersebut antara penulis kegemaran
aku dan lelaki Itali itu,kami lanjutkan dengan bertukar-tukar pandangan tentang
penulis dan buku-bukunya yang lain.Buku itu berbahasa Latin dan aku tanpa ditanya
mengatakan bahawa aku membaca buku penulis tersebut di dalam bahasa Inggeris.Sambil
telapak tangan lelaki Itali itu menggosok-gosok pipi bekas cukuran jambang dia
bertanya adakah negara aku bahasa rasminya Bahasa Inggeris.Aku menjawap pantas bahasa
melayu (bahasa melayu?apabila aku rujuk ia hampir sama dengan bahasa indonesia
baru dia mengerti), tetapi aku tanpa ada noktah menyambung kembali jawapan
bahawa di pejabat,aku bertutur di dalam bahasa Inggeris dan begitu juga di
semua pejabat-pejabat yang ada di Malaysia(hampir)."Strange", dia membalas
sambil meneka bahawa negara Malaysia pernah dijajah. Aku tanpa bertapi-tapi
mengangguk lantas dia menunjukkan tanda paham dengan beberapa anggukan.Iya,pernah
dijajah....
Aku memalingkan kepalaku kembali ke
sisi cermin tingkap bas,dan aku lontarkan pandangan jauh ke pergunungan Alps.Ada
tompok-tompok sisa salji bertenggek di puncak gunung walaupun telah dijarah
oleh kepanasan mentari di musim panas. Bahasa Melayu walaupun telah dijarah,masih
adakah sisa-sisa tinggal dan untuk kita bangkit?Lantas pikiranku meneriak.Oh
Bahasa Melayuku!!
p/s:Argentina,Brazil,Venezuela dan
lain-lain semuanya pernah dijajah dan hampir kesemuanya bertutur di dalam
bahasa Latin dan memilihnya sebagai bahasa rasmi negara.
WS Rendra pernah mengungkapkan "Maksud baik saudara itu untuk siapa?". Nama Rendra(1935-2009) lahir di tengah kekalutan politik yang menekan.
Iya,tekanan selalu membuahkan hasil.Tekanan boleh jadi datang daripada kesusahan,kemiskinan,penindasan dari kaum yang menang,jatuh terduduk akibat cinta,kecewa akibat dosa dan sebagainya.Hasilnya adalah akan lahir jiwa-jiwa merdeka meski akhirnya terperuk di di dalam sebuah jeriji besi disepanjang kehidupan.Jiwa-jiwa merdeka ini akan sentiasa diingati dan diukir namanya oleh manusia-manusia terkemudian.
Minggu-minggu kehadapan mahasiswa dan massa akan menyusun rapat-rapat umum untuk menyatakan isi hati mereka.Meski kita bersetuju atau tidak pernah bersetuju langsung dengan mereka,namun kita sebagai rakyat yang punyai akal dan hidup atas prinsip asas kemanusian perlu menghormati cara mereka meluahkan isi hati mereka.
Mungkin timbul pertanyaan,adakah mereka itu golongan majoriti atau hanya sekumpulan kecil manusia biasa,tanpa menjawap persoalan itu perlu kita tanya soalan apakah hak golongan kecil juga tidak harus dibela?
Sudah tentu dalam mengeluarkan segala isi hati( baca= demonstrasi) ada perkara-perkara yang perlu diikuti supaya ia tidak menyusahkan masyarakat ramai yang lain.Hak itu datang dengan tanggungjawap.Untuk belah yang ditindas mereka punyai hujahnya,untuk puak yang menindas mereka akan datang dengan seribu alasan.
Kebebasan.
Kebebasan suatu yang diberikan ruang oleh agama.Namun semuanya dibataskan dengan garis agama juga.Kita tidak patut mencari kebebasan dengan mata yang buta pada agama.
Aku ingin menitipkan pesan Ali Shari'ati supaya ia tidak berakhir dengan durja "kasihan manusia, ia selalu mencari pembebasan tetapi akhirnya bencana yang diperolehinya".
Akhiranya ,untuk kedua-duanya( demontran dan kerajaan) aku ingin larutkan kembali persoalan ini di minda kalian "Maksud baik saudara itu untuk siapa?".