Friday, December 23, 2011

Pohon Tepi Tasik Paya Bungor

Kau...
Teguh berdiri,
Menahan petir ujian,
Sebelum menadah titik kasih hujan,
Terkadang Mentari mencurah derita,
Sebelum dibaluti lembut malam,
Dikau tetap bahagia,
Tak kira apa,
Dengan gayamu,
Bersahaja.

Walau gugur dedaun masa,
Tanda menempuh dewasa,
Pabila esok masih ada,
Tetap berdahanlah usia.

Di celahan gunung harapan,
Di lembah cinta pertiwi,
Di tepian tasik suci,
Di payungi langit tuhan,
Percayalah,
Di musim bunga,
Walau tidak mengharumi,
Semaraknya tetap dapat dinikmati,
Sentiasa.

Sehingga akan ada tahun hadapan lagi.

Thursday, December 8, 2011

Mari berbudi pada ladang

Seberat budi itu kasih,
Seringan budi itu bahasa,
Selambak menjadi rangkaian,
Secebis ia menjadi ingatan,
Ditiup angin ia melayang,
Digegar bumi ia jatuh.
 
Tanah mana tidak akan disebut,
Jika tidak di tempat bersemainya budi,
 
Hati mana tidak terpaut,
Jika tidak di tempat berlabuhnya budi,
 
Hakikat insan,
Tiada apa tanpa budi.
Hakikat kehidupan,
Tiada hidupan tanpa budi Ilahi.
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
Berbudi pada ladang,
Mari membeli kondo,
Berbudi pada rakyat,
Mari buat bodo..

Wednesday, December 7, 2011

Baris kata untuk Muhammad


Sudah setahun lebih.Pelbagai peristiwa dunia berlaku dan berlalu,namun duniaku tetap masih kecil sahaja,sekadar bersederhana cuma,berlegar-legar antara dosa dan pahala barangkali.

Sengaja aku tidak mahu mencoretkan apa-apa pada tanggal hari jadinya yang pertama, untuk dia tahu bahawa-kasihku kepadanya tidak mengenal erti masa.

Untuk aku,lahirnya setahun yang lepas penuh bermakna, umpama ruang hatiku ini penuh sehingga tumpah dengan cinta dan impi harapan.Hampir sahaja aku mempercayai rezekiku yang berlabuh semua untuknya-aku hanya menumpang teduh.Seperti mahu juga aku kutip semua butir-butir perkataan baik yang hadir di dunia ini dan aku coretkan segala yang baik dan elok untuknya.

Aku memanggilnya dengan Muhammad, terkadang dengan Fatih,acapkali dengan Ahmad.Dan apabila dia membalas panggilan aku dengan pandangan matanya,hatiku mekar.Bagaimanakah aku ingin gambarkan syurga dunia ini dengan hanya baris-baris kata?

Friday, December 2, 2011

Sempena pesta kuih PAU

Tatkala kita dikesempitan masa,
rongga-rongga nyawa di isi dosa,
punyai kaki melangkah
di lembah hanyir,
lantas tangan terpalit nanah bangsa yang merdeka,
Yang lemah dan tak bermaya,
aku bertanya,
di sisi mereka...
bangkai mana yang ingin dikambus?

Monday, August 22, 2011

Menyambung Pelajaran

"This is no time for ease and comfort. It is time to dare and endure",Winston Churchill.

Sudah lama aku tidak menulis sesuatu di sini.3 bulan pelbagai perkara telah berlaku,Muhammad telah mula berdiri sekejap-sekejap, sudah pandai bermain dengan orang.Dan setiap petang aku akan cuba pulang awal ke rumah untuk ini.
Isteri juga telah meneliti borang untuk menyambung pelajaran, ada 3 options sama ada mengambil Public Health, Psychiatric atau pun Rehab. Tip kali perbincangan tentang melanjutkan pelajaran isteri dimulakan akan sering berakhir dengan pertelingkahan kecil dan tiada kata putus.Pada mulanya isteri ingin mengambil Public Health kerana isteri memang tak sukakan Oncall di hospital!!! Tetapi Aku ingin sekali menghantar isteri kembali ke Hospital kerana kasihankan isteri memandu dengan jarak jauh setiap hari ditambah-tambah dengan kerenah birokrasi pejabat kesihatan. Untuk mengambil Psychiatric aku dari mulanya agak tidak menyetujuinya. Aku suka sekali isteri mengambil Paedriatrik,namun kelemahan isteri untuk oncall adalah satu cabaran yang besar walaupun pada aku isteri sangat berbakat untuk ini (what’s the problem with oncall,baby?)
 
Aku doakan semoga isteri berjaya untuk mendaftar tahun hadapan.Aku bukanlah suami yang terbaik,sesungguhnya aku tahu akan banyak benda yang bakal dikorbankan nanti,aku dan Muhammad akan cuba menyesuaikan diri untuk kehidupan baru nanti.
 Iya,sebenarnya aku yang sepatutnya menyambung master aku dahulu. Namun aku tidak dapat bayangkan bebanan kerja ditambah dengan peruntukan malam dihabiskan untuk mengulangkaji, aku belum mampu untuk itu rasanya buat masa ini, ditambah-tambah subjek master Engineering aku tidak lagi ditawarkan di Universiti yang terdekat ini separuh masa. Untuk berulang ke KL setiap hujung minggu selama 2 tahun untuk aku sangat azab dan meletihkan.

Nota: Untuk isteri selamat maju jaya dalam permohonan anda kali ini untuk menjadi specialist.Petang nanti abang belikan printer ;).

Wednesday, May 4, 2011

Pesan dari Pesta Buku KL 2011 (i).

Untuk Pesta Buku KL 2011 aku sampai agak lewat,manik-manik halus hujan menikam bumi,langit mendung dan cahaya matahari agak sayup-sayup memberikan cuaca yang nyaman. Kota Kuala Lumpur tak pernah hadir dalam diri aku tanpa kesesakan kenderaan, tambah-tambah di PWTC ini yang pesta bukunya hanya ada 2 hari sebelum tamat. 
 
Namun Isteriku adalah orang yang paling tidak sabar dengan kesesakan lalu lintas,hatinya cepat panas. Aku biasa-biasa sahaja, jika kereta berhenti bergerak,aku akan membaca, bermain game di talipon tanganku,tidak-tidak pun membelek jerawat di muka.
 
2 perkara yang membuatkan aku menggelengkan kepala,ini kerana 2 perkara ini dilakukan di tempat di mana pencarian ilmu itu berlaku tanpa paksaan, bermakna mereka-mereka yang pergi ke pesta ini tanpa ada paksaan dari luar. Sambil kereta aku beratur untuk berjalan mencari parking, aku lihat banyak kereta-kereta yang berlabuh di gigi jalan, ini menambahkan kesesakan yang sedia ada.Yang kedua sewaktu aku berada di bilik air, aku melihat seorang ayah memaksa anaknya kencing ke dinding bilik air tanpa rasa bersalah.
 
Aku sampaikan pesan yang lembut ini kepada isteri,Muhammad dan untuk diriku sekali. Setiap kali usai solat kita sentiasa berdoa supaya diberikan ilmu yang bermanfaat, salah satu natijah daripada ilmu yang bermanfaat adalah  yang membuahkan akhlak yang baik dan terpuji.Di mana letaknya akhlak jika tidak pada perbuatan yang zahir ,bukankah begitu?Kita harus sentiasa menitipkan doa untuk ini.

Sunday, April 17, 2011

Sarawak PRN : Real Change?( tajuk baju aku..)



 

Aku memakai baju ini semalam, baju ini aku beli sewaktu menonton festival filem bebas di satu sekolah cina di Pulau Pinang.Dalam dakapan aku Muhammad si comel yang selalu tersenyum(terkadang menangis pabila hendak tidur).Angin laut bertiup,aku ingin memasang pesan berbisik pada angin ini untuk saudaraku di sana.Jauh di barat laut kepulauan Borneo rakyat Sarawak membuat keputusan yang penting tentang halatuju negeri mereka pada hari ini.

Keputusan telah keluar,Sawarak masih kekal di bawah pemerintahan BN, tahniah aku ucapkan.Sarawak pada aku sangat unit lanskap politiknya,mana tidaknya tiada satu pun parti di dalam gabungan BN yang bertanding datangnya dari Semenanjung Malaysia dan sudah tentu Putrajaya tidak mampu untuk menentukan siapa KM Sarawak dan pembawaan politiknya. Dengan populasi yang bercampur dan jurang ekonomi dan kefahaman politik antara penduduk pendalaman dan bandar yang sangat jauh tentu sahaja membuatkan Sarawak sangat unik. Aku menjangkakan untuk Pakatan Rakyat menang pada Pilihanraya Negeri semalam amat tipis,bayangkan masih ada rakyat Sarawak yang berpandangan bahawa untuk menjadi pemimpin mereka seharusnya kaya, kerana bagaimana pemimpin yang tidak kaya dapat menolong rakyat yang susah.Semangat feudalisme masih sangat menebal.

Sewaktu PRU 13 aku masih berada di Miri, aku meraikan kemenangan PRU 13 hanya di bilik hotel dan di kaca TV sehingga ke pagi,aku menerima sms dari teman-teman dan saling mengucapkan tahniah seperti mereka pula yang bertanding.Seminggu sebelum itu iklim politik di Miri tidak semeriah di Semenanjung,jika tidak silap ingatan aku hanya ada 2 banner besar daripada DAP , dan bendera parti-parti politik juga amat kurang di jalan-jalanraya dan itu sebagai indikator bahawa ceramah-ceramah di sini tidak semeriah di tempat-tempat yang lain,entah.

Rata-rata penduduk sarawak yang aku jumpa berketurunan Iban dan Kelabit,dari perbualan aku dengan meraka hampir semuanya tidak sukakan Taib Mahmud ketika itu namun aku amat hairan natijahnya tidak sampai kepada keputusan pilihanraya yang masih memihak kepada Taib Mahmud lagi.(Sebelum aku terlupa rakyat Sarawak sangat ramah dan mudah mesra,katakan sahaja anda dari Semenanjung dan tujuan anda datang ke Sarawak,pasti akan diramahi oleh mereka)

Namun keputusan semalam jelas menggambarkan bahawa di bandar-bandar utama seperti di Kuching dan Miri,rakyat di Sarawak jelas mahukan perubahan.Di Miri jelas di wilayah ekonomi seperti di Pujut dan Piasau telah didominasi oleh DAP.Angin kematangan politik telah bertiup dari semenanjung ke kepulauan Borneo itu.Sudah tentu ia akan sampai dahulu di bandar-bandar besar yang mana pemusatan penduduk amat tinggi di sini,perbincangan-perbincangan politik sebetulnya akan menjadi meriah di sini sama ada di kedai-kedai kopi,majlis makan malam,minum petang, rasmi mahupun tidak rasmi, bicara-bicara dari mulut ke mulut lebih mudah, akses kepada maklumat sangat tinggi.Datangkanlah pengetahuan ilmu dan maklumat nescaya sebarang kezaliman akan dihambat dan dipijak sehingga lumat.

Aku sangat percaya kepada hak-hak asasi kita sebagai manusia,hak dalam beragama,pemilikan harta,nyawa dan maruah dan sebagainya.Sehingga sebelum semua rakyat memahami hak-hak ini,maka kita belum berupaya untuk mengucapkan sayonara kepada BN.