Sunday, December 26, 2010

6 Sebab Mengapa Anda Harus Ambil Tahu Tentang Politik.

Ramai orang yang hanya mengenal politik itu hanya ada hitam putih.Mungkin bagi sesetengah orang,putih itu mewakili kerajaan dan hitam itu mewakili pembangkang atau sebaliknya.Dan untuk selain dari itu tiada.Pandangan ini sangatlah dangkal dan jauh dari kebijaksaan untuk seorang rakyat yang berada di bawah lembayung demokrasi.

Mengapa anda harus ambil tahu tentang politik.

1.Itu hak anda yang sudah terjamin.

2.Tiada masalah jika anda seorang yang suka menadah kitab-kitab agama, kaki shopping,workaholic, kaki solat dan sebagainya.Tetapi jangan menganggap politik ini membuang masa.Jadilah pengundi yang bijak, tidak mustahil jika anda bijak mengundi, cukai barangan import boleh dikurangkan(anda tidak perlu lagi ke paris dan london untuk mendapatkan beg LV), gaji anda boleh dinaikkan,kitab-kitab agama dan kelas-kelas agama dengan harga yang sangat minima.Polisi kesihatan yang sangat baik,cukai yang munasabah dan sebagainya.

3.Sudah pasti, anda tidak perlu menyokong mana-mana blok secara aktif.Sudah cukup membaca manifesto kedua-dua belah pihak dan menyokong mana yang memberi manfaat kepada anda secara banyak.

4.Semua ini tidak memerlukan anda mengeluarkan sedikit wang pun (cuma membeli surat khabar) atau di internet secara percuma.

5. Anda tidak perlu melabur untuk mengetahui tentang politik, tetapi orang politik akan melabur kepada anda.Jika anda seorang pelobi yang bijak.

6.Memang susah untuk menegur pemerintah kerana peluang untuk bersemuka dengan pemerintah mungkin kurang atau hampir tiada.Jadi undi anda adalah medium paling berkesan menegur pemerintah/pembangkang.Percayalah undi anda lebih ditakuti oleh pembangkang/pemerintah daripada anda cubit pinggang gendut mereka, dan bisikkan mutiara-mutiara nasihat yang hebat.



Thursday, December 23, 2010

Buku Jingga

Buku Jingga itu,
Saksi baru kita,
Sekali kau mungkari,
Akan aku ludahi,
Biar sampai pedih bibir,
Biar sampai kuning jasad...

Buku Jingga itu,
Adakah cinta kita berputik kembali?
Atau sekadar membawa lara...

Monday, December 20, 2010

Muhammad,itu ibumu

Lunas,20 Disember 2010,1930
Muhammad tidak berhenti menangis lebih daripada 30 minit.Segala-galanya telah dilakukan, minyak teflon dan minyak gamat sudah disapukan di bahagian perut.Minyak yuu yee telah disapukan di perut betis dan di tapak kaki.Tangisannya tetap tidak henti-henti.Mulutnya memenuhi bahagian pipinya yang comel itu.Bahagian mukanya bertambah merah,peluh memercik di bahagian dahinya tanpa henti.Puas isteri dan aku bergilir-gilir mendukungnya,tangisannya tetap tidak berkurangan,malah lebih lanjut lagi.Dukungan dan pemberian susu silih berganti, namun tiada berhasil.Sehinggalah kepalanya layu di bahu isteri, tertidur akibat letih terlalu banyak menangis.Isteri juga turut menangis. 
"Sayang,mengapa sayang menangis?"Tanyaku,mungkin isteriku letih,kerana agak terbiasa isteriku menitiskan air mata kerana letih"
"Kesian tengok Muhammad menangis, mesti dia letih." Balas isteriku.
Aku terdiam,lantas aku berikan sebuah ciuman di kepala isteriku.Akan ku selalu ingatkan kepada anak-anakku nanti tentang ini.Benarlah pesan kekasih terulung kita sewaktu kekasih kita ini menjawap soalan seorang pemuda.

Dari Abu Hurairah ra., dia berkata: Seorang laki-laki datang menemui Rasulullah saw dan bertanya kepada beliau, “Wahai Rasulullah, siapakah manusia yang paling berhak aku berbakti?” Beliau menjawab, “Ibumu! Ia bertanya lagi, “Lalu siapa?” Rasul menjawab lagi, “Ibumu!” Ia bertanya lagi, “Siapa lagi?” Rasul kembali menjawab, “Ibumu!” Ia kembali bertanya, “Lalu siapa lagi?” Beliau menjawab, “Bapamu!”(Bukhari&Muslim). 

Sudah pasti bakti ini akan membawa ke syurga. 

Sunday, December 19, 2010

Demam sehingga mengakibatkan dating dibatalkan

Sepatutnya hari ini aku berpegangan tangan dengan isteri bersiar-siar di Auto City,namun semuanya terpaksa dibatalkan kerana aku demam yang agak teruk.Segala perkara telah diselesaikan semalam untuk menjadikan hari ini tanpa sebarang tugas,hanya aku dan dia sahaja.Muhammad Al-Fateh juga dipaksa rela untuk diberi kepada penjaganya.Semuanya kerana ingin meraikan cukup setahun perkahwinan kami.

Duhai sayangku, terima kasih untuk segala kesabaran yang ditunjukkan.Terima kasih juga kerana mempunyai satu matlamat yang sama.Meski sesekali berbeza pandang, namun semuanya masih dihalakan ke satu tempat yang sama.

Cinta abang hanya untuk sayang.Sehingga sampai syurga.

Saturday, December 18, 2010

Kota Itu

Malam kelmarin rakan universiti aku berkunjung ke rumah,Faiq,Nana,Edd dan Maonx (beserta perut-perut kalian).Angin kenangan lampau menyapu lembut ke hati.Terusik namun agak sulit untuk aku pindahkan ke dalam bentuk abjad dan tulisan.Mungkin sahaja diketika lain ya.(Mungkin juga aku ini hanya semut-semut kecil di kota universiti itu,yang tiada sebarang kemanisan yang ingin dikongsi,mungkin juga aku ini hanya lalat-lalat terpinggir di tepi lorong gelap di kota universiti itu,yang hanya ada kebusukan yang ingin dipalitkan)

Yang jelas di tangga kota itu kita duduk dengan semuanya penuh diisi dengan harapan, namun berada di luar kota itu setiap yang datang kadang-kadang bukan pilihan kita.Yang mampu kita lakukan hanyalah menerima dan membiasakan.

Aku masih seperti dahulu, maksud aku seperti di kota itu,penuh dengan semangat optimistik, masih penuh pengharapan, masih boleh tersenyum ketawa riang seperti dahulu.

Untuk sahabat-sahabatku,kalian akan terus berada di dalam kotak memori dan kotak hati.(Kuncinya hanyalah sms atau buatlah miscall sekali dua,ngeh he he..aku bergurau)

Untuk rakan wanitaku yang sentiasa berwajah lembut , walau kau cuba berselindung di sebalik ketawa kecilmu pesanku,bersabarlah dengan hujan ujian dan ribut petir kehidupan, sesekali tersenyumlah untuk kau kenangkan akan ada sinar cahaya dan pelangi kebahagian sesudah hujan teduh.Ia akan muncul,sedikit waktu lagi.Percayalah.My prayer always be with you.

Wednesday, December 15, 2010

Bahasa Pohon Epal( Warna III)

Warna-Warna Sahabat( Warna I)
Ada Benda Kita Sengaja Biarkan ia Putih (Warna II)

Aku duduk termenung di bucu jendela, mata jauh memandang kenderaan bergerak laju di lebuh raya kehidupan. Pokok-pokok pine tumbuh subur di tepi pagar,hembusan angin dari utara menyapu lembut ke muka,membawa sekali kisah-kisah sedih kehidupan.Sesekali jendela nostalgia menyentuh lembut ke bahu.Hati terusik.

Di satu sudut kepala, aku mengambarkan pohon-pohon epal tumbuh segar di tepi pagar itu, dibajai dengan baja kasih sayang, disirami dengan air keringat, tanahnya digembur dengan peluh usaha...untuk menghasilkan buah-buah kejayaan, buat bekalan kehidupan di dunia. Bulan berganti bulan,penuh sabar. Akhirnya bunga pengharapan berputik mekar. Harumnya menusuk mewangi, menjanjikan sebuah kemanisan dan kerangupan epal yang bakal meranum sekian hari nanti.Lewat disember,selepas musim hujan buah-buah epal terbit diiringi warna-warna kisah sedih.Di barat pohon epal,buahnya berwarna hijau, di timur pohon epal,buahnya berwarna merah, di utaranya buah berwarna kekuning-kuningan, aku tidak mengetahui bahasa saintifiknya, aku hanya tahu bahasa warna, warna umum dan difahami ramai.

Aku masih duduk di bucu jendela,hati tertanya-tanya.Tanah yang sama, baja yang sama,air yang sama, berkongsi pohon dan ranting yang sama, namun mengapa warna buahnya berbeza. Aku menangis teresak, seperti anak kecil yang menangis dikuis pohon semalu.Masih memandang,tapi hanya dari jauh, tidak berani menggapai lantas tidak dihiraukan. Akhirnya buah-buah epal itu membusuk kusam. Aku menyesal tidak menikmatinya. Aku terlupa walau apa pun warna mereka, mereka tetap buah epal yang sama, yang datang dari pokok yang sama, yang berakar dari akak yang sama dan dipunyai oleh Pemilik yang sama.


**Entri ini adalah tulisan lama, sewaktu mendiami Apartment Hospital Sungai Petani semasa Isteri sedang bertugas aku pula keseorangan membaca pergolakkan politik atas nama Agama.Tapi kalian bebas untuk mentafsirkan apa sahaja yang kalian fikir berkaitan.Contohnya pada malam ini aku agak sulit untuk memilih buah epal di dalam peti ais,yang mana harus aku makan dahulu, yang hijau atau yang merah.Padahal kedua-duanya sudah disimpan lebih sebulan!!

Monday, December 13, 2010

Tidurlah

Tidurlah,
Bulan itu teman,
Bintang itu kawan.

Mimpimu...
Adalah mimpiku.

Tidurlah,
Dikau tahu, 
Dingin pekat malam jadi hangat,
Dalam dakapan kasih ibumu.

Tidurlah sayangku.
Doa ibu menyelimutimu,
Harapan daku hamparanmu,
Tuhan ada bersamamu.

Tidurlah,
Esok pagi mentari mengukir senyum..
Kerna dikau tersenyum,
Dan berilah sedikit kemanisan itu,
Buatku ubati pahit kehidupan.

Ahh...Tak sabar menanti hari esok,
Untukku tatap kaca matamu,
Untukku hidu wangian syurgamu...

Tidurlah sayangku,
Esok ku tulis semua kasih padamu. 

Saturday, December 11, 2010

Hidangan Kampung (I)

Hari pertama di kampung sangat mendamaikan. Kedinginan paginya sampai ke tulang.Bermotosikal di pagi hari bukanlah satu pilihan yang terbaik untuk aku meski kenderaan ringan ini begitu menyenangkan pergerakan.

Pagi pertama aku menikmati cucur kucai yang ditanam dihalaman rumah,Meskipun tanpa dicicah sos, aroma dari kucai dan bawang cukup menyelerakan.

Usai membeli hadiah untuk baby kembar abang ngah dan kak ngah,aku singgah di rumah ayah kak ngah( tujuan aku balik kampung pun sebenarnya untuk menghadiri kenduri kawin Lin di rumah ini keesokan harinya).

Makan tengahari sehari sebelum kenduri biasanya masakan kampung yang ringkas.Gulai pucuk paku,ikan goreng tongkol,pekasam ikan sepat dan juga sambal belacan begitu membangkitkan selera.Gulai pucuk paku itu kuahnya agak pekat,pucuknya pula sangat lembut dan rangup, kombinasi dengan sambal belacan memang sangat sesuai.Ikan sepat pekasam pula digoreng garing namun isi di dalamnya masih lembut.Dan untuk aku pekasam yang terbaik adalah yang tidak begitu masam sangat.Makan panas-panas dot dot dot.....

Balik-balik sembahyang jumaat tidur sebentar, bila bangun-bangun terus capai pinggan dan nasi sesenduk.Siapa dapat menolak apabila perut lapar selepas tidur disorongkan ikan keli goreng masak pedas dan juga cendawan kampung tumis kari.Untuk pencuci mulut pula sudah cukup dengan dua bungkus tapai pulut yang dibuat sendiri.Keluarga aku memang terkenal dengan kemahiran membuat tapai pulut. Isinya sangat manis dan tidak antah.Untuk aku tapai yang terbaik apabila selesai makan,gas yang berlebihan aku keluar ikut hidung.Itu memang nikmat yang sukar diungkap.
 
Hingga jumpa lagi,izinkan aku menikmati keropok likur pula.

Thursday, December 9, 2010

Hidangan Malam (II)

Beberapa malam yang lepas aku dan rakan sekerjaku mengadakan makan malam di satu restoran yang ada semacam gerabak-gerabak kereta api,sambil menikmati makanan diiringi alunan Muzik-Muzik Inggeris yang seakan kedengaran atau tidak( akan aku ceritakan lagi ya tentang Muzik Inggeris ini)

Aku memesan jus nenes, agak baik jus nenas ini, pekat dan sejuk tanpa kehadiran ais ketul bersamanya.Tidak terlampau manis dan masih terasa butiran halus isi nenas.Cuma agak sedikit,kalau diteguk sekali nafas mungkin sahaja boleh selesai.

Untuk pembuka selera,dihidangkan salad dan yang baiknya sosnya boleh dipilih.Aku memilih thousand island( ini kesukaan isteri aku), sos-sos yang lain aku terlupa ;P.Aku hanya menghabiskan separuh mangkuk, meski ini hidangan percuma tetapi aku sangat yakin harganya telah disertakan siap-siap bersama hidangan utama.Jika tidak, tentu sahaja aku akan singgah untuk menikmati salad percuma bersama air kosong yang juga percuma dan setelah selesai beredar tanpa membayar sesen pun.

Beberapa minit hidangan utama sampai,Lobster dipanggang bersama krim pekat dan juga steak lembu.Aku tidak dapat menghidu sebarang bau kesegaran isi lobster ini.Permukaan isi lobster ini agak garing akibat dipanggang bahang api, namun struktur isi di dalamnya sangat lembut dan harum.Apabila dimakan bersama krim yang pekat, seolah-olah ia cair di dalam mulut.

Untuk steak daging lembu, ia sebesar tapak tangan. Aku memilih well cook tetapi dagingnya  masih sangat lembut untuk dipotong. Cuma sosnya tidak berapa menyelerakan, agak tawar dan tidak mempunyai rasa. Aku rasa jika sosnya ditambahkan lebih bawang dan tomota yg dikisar halus mungkin aroma dan rasanya akan terasa lebih kuat.

Owh aku terlupa berbicara mengenai muziknya.Dari mula aku masuk hingga aku keluar aku tidak perasan langsung bahawa lagunya sering bertukar-tukar.Jadi untuk aku ,Muzik Inggeris itu telah gagal untuk mengInggeriskan selara aku.

Sulit berbicara dan Menulis (I)

Monolog aku : Apa yang membuatkan seseorang manusia itu begitu cekal dengan kehidupannya?adakah disebabkan oleh semangat, keazaman, latihan atau pengalaman?

Jawap hati aku : Yang aku cari hanya kesempurnaan pengalaman, meski itu adalah mustahil tetapi usaha ke arah itu harus ada. Untuk mendapat kesempurnaan pengalaman perlu ada semangat, keazaman dan juga latihan. Tempoh latihan akan disusuri dengan kegagalan, kesilapan mahupun kejayaan. Setiap latihan perlu diambil pengajaran, setiap pengajaran mesti ada hikmah yang tersembunyi.

Oh tuhan, kesempurnaan itu hanya hak milik-Mu, latihan dan pengalaman itu buahnya adalah syurga-Mu. Jadikanlah diriku ini tidak takut dengan latihan dan ujian-Mu di dunia ini. Kurniakanlah cinta-Mu di dalam setiap gerak langkahku ini agar setiap yang mendatang aku kerjakan dengan perasaan yang penuh kecintaan.Cinta dari-Mu adalah sumber kekuatanku.