Wednesday, March 23, 2011

Memori 1998

Malam tadi aku menonton berita di TV3, sekali lagi dikejutkan dengan satu skandal seks yang amat memalukan,aku juga memicit kepala yang tidak sakit apabila mendengar ulasan dari Zul Nordin.Lantas memori aku memetik kembali kisah 1998,sudah tentu ingatan aku sangat kasar,banyak perkara anda tidak boleh ingati kembali, anda tahukah anda sedang buat apa pada tarikh 9 september 1997 yang lalu?Bak kata Dr.Mahathir.
Perhimpunan sekolah bermula seperti biasa 7.15 pagi, panas mentari hanya bermain-main dipermukaan kulit,sesekali angin pagi bertiup lalu memberi kedinginan pagi dan keindahan daun berguguran.Aku menggosok-gosok lengan yang tidak dilitupi baju.Untuk pelajar yang bangun lambat mereka akan berlari-lari anak ke dewan besar itu,merentasi padang ,dengan stoking di  tangan,ada yang sempat dibasuh dihujung minggu,ada yang tidak sempat dibasuh mengikut tahap kerajinan tuan-tuan stoking itu,natijahnya boleh dilihat pada warna stoking nan putih itu.
Aku menguap panjang,aku memang yang jenis yang lambat panas diawal pagi.Tetapi pada pagi itu,ustaz bangun memberikan ucapan,dimulakan dengan tahmid kepada tuhan secara ringkas dan terus dengan pengumuman pemecatan DSAI akibat daripada skandal salah laku seks.Memori rajah kasar aku tidak pasti sama ada dewan besar itu kecoh atau tidak,namun aku sangat terperanjat menerima berita itu.Di asrama sok sek kami berbual tentang berita itu diwaktu senggang antara kelas pagi dan prep petang di bucu-bucu katil.
Peristiwa itu membawa arus perubahan besar di sekolah ketika itu, ada sesetengan tenaga pengajar begitu aggresif dengan menampal artikel-artikel menyebelahi DSAI di dalam kelas.Cakap-cakap politik di sana sini di setiap sudut sekolah.
Dan sempena mengambil peristiwa itu,terjadilah penawanan Dewan Besar dan guru-guru oleh pihak pelajar. Guru-guru dikunci di dalam dewan besar itu dan desakan untuk pentadbir sekolah supaya berundur atau memberikan penjelasan mengenai hal tadbir sekolah diteriakkan di dalam dewan sambil sepanduk dijulang tinggi.Pelajar tidak puas hati dengan yuran,kutipan derma dan sebagainya.Perkara ini tidak bersangkut paut langsung dengan Peristiwa Pemecatan itu,pelajar hanya meminjamkan semangatnya sahaja.Namun ia tetap terpahat sebagai sejarah hitam untuk sekolah,kesannya sukar dihapuskan buat beberapa tahun,banyak hati yang terasa.
Telah lebih 1o tahun berlalu,aku tidak mengetahui nasib pelajar-pelajar yang mengetuai riot itu samaada mereka masih bersama-sama dan mengetuai perubahan di dalam negara dan masyarakat atau tidak.Yang jelas skandal seks itu masih dikitar semula di dalam politik negara.Jika abang-abang masih ada sekelumit kecil memori dan semangat tahun 1998 itu mari kita pinjamkan ia sedikit untuk sebuah negara yang kita cintai ini.

No comments: