Monday, March 28, 2011

Wanita Hebat di Kedai Buku itu

Ada satu kedai buku yang aku selalu kunjungi, jika aku perlu fotokopi sesuatu juga aku akan singgah di kedai buku ini, sambil menunggu-nunggu fotokopi siap,aku bersiar-siar mengelilingi raknya. Kedainya di pinggir pekan,agak terceruk ditambahkan pula ada sebatang pohon yang sangat besar di depan kedainya, membuatkan suasananya suram namun sangat redup.Kedai ini mengambil 2 lot bahagian daripada deretan blok itu dan disambungkan keduanya.Aku memang peminat buku,namun untuk menghadamnya tiada upaya diri,ia samalah seperti penonton tegar Jalan-Jalan Cari Makan di TV3,mungkin ada antara penontonnya tidak mampu langsung untuk menjamah makanan yang dipertontonkan.Sedap di mata namun tidak sampai ke lidah.Berada di kedai buku umpama berada di kedai menjual ikan-ikan hiasan,melihat ikan-ikan meliuk-liuk berenang sudah cukup menggembirakan hati.Aku gemar melihat warna-warna buku,membaca-baca tajuk besar kecil,membelai-belai kulit muka dan belakang buku,menghirup wangian segar buku-buku baru,suatu perasaan yang tiada bahasa dapat menggambarkannya.

Petang semalam,di kedai itu,aku memerhatikan seorang pembantu kedai wanita,awal usia 40-an aku kira.Duduknya disudut kanan tengah kedai,jauh daripada kaunter pembayaran.Tanyalah apa sahaja buku yang ingin dicari,dengan matanya yang cemerlang dan bahasa yang baik wanita ini ada jawapannya.Pakaiannya biasa sahaja, tidak mewah,sama seperti pembantu kedai-kedai yang lain.Sudah tentu gajinya pula tidak mencapai separuh pun gaji pembantu politik ketua-ketua bahagian.

Aku memerhati dari sudut kedai,wanita ini suka sekali memindahkan cerita kanak-kanak yang terdapat dikedai itu ke dalam buku yang seperti buku latihan sekolah, sangat tekun dia menulis namun pergerakannya sangat lembut. Dari jauh,tulisannya kelihatan amat jelas,besar dan bulat-bulat.Kaki aku berat untuk menghampirinya,dan aku diamkan sahaja segala persoalan di jiwa.Aku bersandar badan ke rak buku sambil berfkir, tentu wanita ini menulis untuk anak kecilnya,jauh aku terbayang betapa tabahnya wanita ini setiap malamnya membaca dan mengajari anaknya membaca dari cerita-cerita yang ditulisnya itu.Aku tersenyum.Lalu,aku tinggalkan kedai itu tanpa sebuah buku pun ditangan,namun penuh pengajaran di jiwa.

Untuk anak kecil wanita itu, jika pun dia tidak membaca tulisan aku ini, aku berdoa supaya dia sentiasa bersyukur kerana dianugerahkan wanita yang hebat sebagai ibunya.

2 comments:

admin said...

terharu baca post kali ni...semoga anak wanita itu menyedari kasih sayang yang disampaikan ibunya itu.

Shah said...

ameen...