Friday, July 27, 2012

Kisah Anak Kecil,Datuknya dan Bekas Arang


Kisah ini disampaikan kepada aku sewaktu aku menginjak ke usia belasan tahun.

Begini kisahnya.Di sebuah kampung di pinggir sebuah gunung hidup seorang anak kecil bersama datuknya.Hidup mereka dikelilingi hutan dan batu-batu gunung,pondok mereka berhampiran anak sungai yang mengalir dingin.Kulit datuknya agak kehitaman,tapak kakinya pula agak keras dan menggerutu,kasar kedua belah tapak tangan menunjukkan betapa usia datuknya dihabiskan untuk berbakti pada bumi buat menjamah sesuap rezeki.Rezeki sentiasa,yang tinggal hanya kita perlu mencarinya. Begitulah yang selalu dibisikkan oleh datuknya kepada anak kecil tersebut.

Setiap hari lewat petang,sebelum malam menjemput datang,datuknya akan menghabiskan sisa-sisa cahaya yang ada untuk membaca Al-Quran.Setiap hari tanpa ada mungkir.Kerana apabila malam menjemput,mereka hanya bertemankan dengan cahaya bulan.Kayu dan arang bakar yang ada hanya untuk dibuat jualan,fakir tetapi rezeki itu ada pesan datuknya lagi.

Suatu malam sesudah mengalas perut sebelum menunggu mentari muncul,anak kecil tersebut datang perlahan-lahan ke tempat beradu datuknya.Dan dengan perlahan melabuhkan kepalanya ke bahu datuknya. Dengan lemah lembut datuknya menyusap-ngusap kasih rambut cucunya.Tangan comel anak kecil yang berusia 7 tahun itu bermain-main dengan tangan kasar datuknya.Dia meminta izin untuk bertanyakan sesuatu dan mengharapkan pertanyaannya itu tidak menyakiti hati datuknya.Usianya setahun jagung tetapi sangat memahami dan menghormati.Datuknya dengan muka yang redup mengangguk perlahan sambil tersenyum.

“Tok,mengapa saya lihat Tok membaca Al-Quran setiap hari sedangkan kita tidak memahaminya”,soalannya ringkas sambil terus bermain-main dengan tangan datuknya.Datuknya tidak menjawap dan hanya menghadiahkan sebuah kucupan di dahi.”Esok datuk bagi jawapannya,tidurlah sekarang”, begitulah datuknya,kurang bercakap tetapi murah dengan senyuman dan kasih.Bercakap hanya perlu.Malam itu mata anak kecil itu tidak boleh berlabuh dengan rapat,masih mengagak-ngagak jawapan yang akan diberikan esok hari.

Pagi itu,mentari masih menyorok-nyorok malu di celahan gunung,anak kecil itu dan datuknya duduk-duduk di bongkah batu di tepi anak sungai sambil menghirup udara pagi.Datuknya memberikannya bekas mengangkat arang dan sisa kayu api dan mengarahkan cucunya mengisi air di bekas itu untuk dipenuhkan tempayan di sudut pondak mereka.Dengan syarat sehari hanya sekali angkut.Anak kecil itu pun melangkah malas menuju ke sungai, cubaan kali pertama gagal kerana bekas itu bocor tanpa disedarinya.Anak kecil itu berdiam diri tidak mahu bertanya.

Untuk hari kedua,anak kecil itu melangkah malas ke sungai untuk mengisi air lagi,dengan berlari separuh tenaga  anak kecil itu cuba mencapai tempayan di sudut pondok, tetapi masih gagal lagi.Masuk hari kesepuluh,anak kecil itu tidak mahu cuba lagi.Lalu datuknya bertanya dengan lembut mengapa.”Tok,setiap hari saya cuba membawa air dari anak sungai ke tempayan dan setiap kali itu jugalah tidak berjaya” omel anak kecil itu sambil jari telunjuknya menunjuk-nunjuk ke arah setiap lubang-lubang kecil di dasar bekas itu.Bibirnya diketapkan,mungkin tanda merajuk atau boleh jadi tanda putus asa.

Datuknya tersenyum dan mengungkapkan baris-baris ayat yang tidak pernah akan anak kecil itu lupakan.

Bekas yang hitam ini umpama hati kita,sangat hitam lantas kita tidak pernah akan perasan akan masalah dengan diri kita.Dengan bekas yang hitam ini kita cuba penuhi tempayan dengan air dari anak sungai,namun tidak berjaya kerana rupanya ada lobang-lobang kecil di sana-sini yang kita tidak pernah ambil tahu barangkali akan kewujudannya.Setiap kali kita lakukan dan setiap kali itu kita gagal.Namun kita tidak pernah perasan bahawa warna hitam arang disetiap pelosok bekas itu telah dibawa pergi sedikit demi sedikit oleh air setiap hari. Lantas akhirnya kita nampak lobang-lobang kecil di sana sini,lalu kita perbaiki dan tampalkan ia.Akhirnya tempayan itu pun akan penuh.

Begitulah hati kita, sangat hitam dan hanya akan menjadi putih dengan hanya kita tempuhi dengan jalan kebaikan,dan salah satunya dengan membaca Al-Quran.Kita baca dan baca tanpa henti,lalu ia menjadi putih.Kita akan lihat kebocoran di setiap sudut hati kita.Lalu kita perbaikinya dengan isi amal Al-Quran sehingga menjadi teguh hati kita.Dan setiap kali kita tinggalkan tugas penyucian dan pengamalan itu setiap kali itu juga hati kita menjadi hitam sedikit demi sedikit.

Setiap kali aku malas membaca Al-Quran, aku akan cuba mengingati kembali kisah ini.

No comments: