Sunday, July 22, 2012

Oh Bahasa Melayuku

GAPENA bersuara kembali,soal bahasa ini tenggelam timbul sifatnya,suam-suam kuku darjah kepanasannya di media massa.

Di satu hari pada musim panas yang lalu aku berada di tengah perut sebuah bas menuju ke Kota Venice,Itali.Aku tidak pasti apa yang menariknya di Venice; aku suka biarkan persoalan itu terbit dan bermain-main begitu.Jika aku keseorangan berjalan-jalan aku selalunya tidak ambil kisah tentang apa bakal tempat menarik untuk aku lawati,peta juga tidak di tangan( Jika dengan isteri aku,sudah tentu dia akan membuat rujukan dan kajian yang terperinci tentang tempat menarik yang harus dilawati).Untuk aku,aku lebih senang membiarkan kaki melangkah ,mata melirik ke papan-papan tanda dan "brochure" sambil mulut sesekali ringan bertanya orang di situ tentang tempat yang menarik yang aku harus jelajahi.Dalam pada itu sudah pasti banyak kali tersesat.Hanya sesekali sahaja aku membuat rujukan dan kajian ringkas itu pun hanya untuk tujuan tertentu.
Di sebelah aku duduk seorang lelaki Itali kelahiran Argetina.Oleh kerana lelaki tersebut duduk disebelah tingkap maka dia dengan lembut mempelawa aku untuk bertukar tempat dengannya apabila melihat aku terkinja-kinja cuba menangkap gambar permandangan di luar.Aku menerima dan melahirkan penghargaan tentang kemurahatian lelaki Itali tersebut.Di celahan dua telapak tangan lelaki Itali tersebut terselit buku yang mata aku pernah lawati isinya.Kebetulan penulis buku tersebut antara penulis kegemaran aku dan lelaki Itali itu,kami lanjutkan dengan bertukar-tukar pandangan tentang penulis dan buku-bukunya yang lain.Buku itu berbahasa Latin dan aku tanpa ditanya mengatakan bahawa aku membaca buku penulis tersebut di dalam bahasa Inggeris.Sambil telapak tangan lelaki Itali itu menggosok-gosok pipi bekas cukuran jambang dia bertanya adakah negara aku bahasa rasminya Bahasa Inggeris.Aku menjawap pantas bahasa melayu (bahasa melayu?apabila aku rujuk ia hampir sama dengan bahasa indonesia baru dia mengerti), tetapi aku tanpa ada noktah menyambung kembali jawapan bahawa di pejabat,aku bertutur di dalam bahasa Inggeris dan begitu juga di semua pejabat-pejabat yang ada di Malaysia(hampir)."Strange", dia membalas sambil meneka bahawa negara Malaysia pernah dijajah. Aku tanpa bertapi-tapi mengangguk lantas dia menunjukkan tanda paham dengan beberapa anggukan.Iya,pernah dijajah....
Aku memalingkan kepalaku kembali ke sisi cermin tingkap bas,dan aku lontarkan pandangan jauh ke pergunungan Alps.Ada tompok-tompok sisa salji bertenggek di puncak gunung walaupun telah dijarah oleh kepanasan mentari di musim panas. Bahasa Melayu walaupun telah dijarah,masih adakah sisa-sisa tinggal dan untuk kita bangkit?Lantas pikiranku meneriak.Oh Bahasa Melayuku!!

p/s:Argentina,Brazil,Venezuela dan lain-lain semuanya pernah dijajah dan hampir kesemuanya bertutur di dalam bahasa Latin dan memilihnya sebagai bahasa rasmi negara.

No comments: