Saturday, November 20, 2010

Sebening Pagi Aidil Adha

Aku bersandar di sudut surau,sesekali membetulkan dua jarum peniti yang melekat antara celahan butang baju(kerana kekasihku terlupa membawa butang baju melayu ;P).Sambil mulut mengikut-ngikut takbir yang dikumandangkan,tanpa sedar pikiranku melayang, sesekali bila tersedar pantas menyelami kembali kepada makna,kemudian mengelamun kembali. Atmosphera-nya seperti hari-hari biasa,yang berbeza cuma manusia berkumpul di rumah tuhan beramai-ramai di awal pagi dan juga lembu-lembu berehat-rehat dengan tenangnya sambil rumput penuh di kembungan pipi,di pinggiran surau dan masjid tanpa ada yang tahu urat lehernya akan dihiris putus.
 
Jiwa-jiwa kita sangat jauh dari semangat hari raya korban.Banyak sirah di dalam hari raya korban ini yang selalunya hanya singgah dan menyapu sisi telinga. Pengorbanan Nabi Ibrahim as dan Nabi Ismail as selalu disurahkan, kita mendengar dan kita melihat,ia hanya sebuah kisah yang biasa-biasa yang membawa kepada penyembelihan binatang korban yang padanya diikuti oleh umat Muhammad saw.Namun kita gagal menyelami erti cinta kepada tuhan dan erti cinta disebalik kasih sayang kepada anak.

Siapakah yang dapat menandingi cinta seorang ayah kepada si anak seperti Ibrahim kepada Ismail.Anak yang didambakan bertahun-tahun tetapi terpaksa diserahkan kepada padang pasir yang tandus dan dahaga.
Siapakah yang dapat menandingi cinta hamba kepada Penciptanya seperti Ibrahim as terhadap Rabb-nya.Setelah diuji dengan pencarian siapa tuhan,diuji dengan pembakaran diri,cintakah Tuhan kepada dirinya seperti dirinya cinta kepada Tuhannya,kerana hampir semuanya diuji dengan penderitaan.

Setelah anak kembali kepangkuan,cintanya diuji kembali, cinta kepada pencipta dan kasih kepada anak diuji dengan sebilah pisau tajam di urat leher.Perintah apakah ini?Namun Ibrahim as tetap taat,patuh kepada Penciptanya.Dengan berat hati namun dengan penuh redha, dengan sedih namun penuh taat.Semuanya hanya kerana satu...anak dan bapa sangat menyintai Pencipta yang agung dan Pencinta yang setia.

Aku melihat jam di dada surau.8.30 pagi, waktu untuk solat.Waktu untuk mengadu dan memperakui kelemahan diri kepada Sang Pencipta.Semoga diberi kekuatan taqwa seperti bapa kita Ibrahim as dan anak yang soleh Ismail as.

p/s: mengapa terlalu lambat menulis tentang hari raya korban?Ala sedangkan Malaysia ini pun boleh terlewat sambut Hari Raya Aidil Adha...

No comments: